Taman permainan beri kemudahan semua

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta memberi peluang untuk anak-anak istimewa bermain dan bergaul seperti anak-anak normal, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama beberapa pihak berjaya mewujudkan Taman Permainan Mudah Akses sejagat terletak di Taman Perbandaran atau juga dikenali sebagai Taman Belia di sini baru-baru ini.

Dengan keluasan kira-kira 1,000 meter persegi, taman permainan hasil inisiatif bersama Kerajaan Negeri serta Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON) tersebut turut memberi peluang kepada golongan istimewa untuk beriadah dan bersenam bersama ahli keluarga.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dalam ucapannya berkata, Taman Permainan berkenaan mula dibina pada 15 Julai lalu dan siap sepenuhnya kira-kira empat bulan kemudian (10 November 2013).

“Taman permainan ini mengambil masa agak lama dari segi rekabentuk kerana ia melibatkan PESRON dan pematuhan Prinsip Asas Rekabentuk Sejagat atau Principles of the Universal Design yang bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak normal tetapi juga golongan orang kurang upaya (OKU).

“Pada masa sama, ia turut melibatkan projek pengindahan seluruh kawasan taman permainan termasuk tandas awam khas untuk golongan OKU, menaik taraf tanah lapang Taman Poket Jesselton dan laluan trek jogging berdekatan Taman Permainan ini,” katanya pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

Taman Permainan menelan belanja RM490,000 terbabit dilengkapi dengan rubber rasised floor mats iaitu kemudahan permainan mesra OKU dan ruang parkir khas untuk golongan itu.

Majlis pelancaran taman berkenaan disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Turut hadir, Presiden PESRON Pulau Pinang, Profesor Madya Dr. Tiun Ling Ta, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bungah, Cheah Kah Peng dan Ahli-ahli Majlis, MPPP.