Taman Rekreasi Seri Tanjung Pinang sedia dikunjungi

Admin
Taman Rekreasi Seri Tanjung Pinang yang menarik.
Taman Rekreasi Seri Tanjung Pinang yang menarik.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


TANJUNG BUNGAH – Suasana hijau, lokasi strategik dan kepelbagaian kemudahan yang dibekalkan bakal menjadi daya tarikan utama Taman Rekreasi Seri Tanjung Pinang yang baru dilancarkan di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, kewujudan taman rekreasi tersebut adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

“Sungguhpun taman ini masih belum diketahui umum, tapi kita (Kerajaan Negeri) yakin ia mampu menarik perhatian ibu bapa yang ingin meluangkan masa bersama anak-anak mereka,’’ katanya ketika mengadakan lawatan khas ke Taman Rekreasi Seri Tanjung Pinang yang baru dilancarkan di sini baru-baru ini.

Berkeluasan 1.76 hektar, Taman Rekreasi Seri Tanjung Pinang dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya 1.4 kilometer laluan joging dan berbasikal, taman permainan kanak-kanak serta tandas awam. Selain itu, kawasan sekitar juga sesuai untuk perkelahan dan rehat
selain mempunyai gazebo dan taman tema air mini.

Taman rekreasi yang dibangunkan oleh Eastern & Oriental Property (Penang) Sdn. Bhd. (E&O) turut dibuka untuk aktiviti berkumpulan.

Sebelum ini, antara taman yang turut dibangunkan bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri adalah Taman Persahabatan di Lebuh Farquhar; Taman Tugu Kota Demokrasi, Taman Cantik, Bagan; Taman Mini Balik Pulau dan Taman Grafiti.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan taman-taman rekreasi dan pusat aktiviti riadah di seluruh negeri selaras dengan prinsip hijau yang diperkenalkan sejak 2009.

Untuk sebarang pertanyaan atau permohonan mengadakan aktiviti berkumpulan, sila hubungi pihak pengurusan di talian 04 – 891 3311.

Taman rekreasi tersebut dibuka kepada umum bermula jam 7 pagi sehingga 7 malam setiap hari.