Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
TANJUNG BUNGAH – Pulau Pinang mencipta sejarah sendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia dan Asia membuka taman tema air konsep terapung, Wet World Wild Adventure Park(WWW) di Pantai Moonlight, Batu Feringghi di sini baru-baru ini.
Taman tema yang mendapat sentuhan teknologi Jerman tersebut membawa fenomena baru dalam industri pelancongan negara berasaskan konsepnya sebagai taman terapung di atas laut.
Malah, setiap pengunjung turut diwajibkan memakai jaket keselamatan sepanjang berada di taman tema berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kewujudan WWW merupakan satu perkembangan positif dalam industri pelancongan tempatan yang dapat dilihat sebelum dan selepas 2008.
“Sebelum 2008, kita (Pulau Pinang) tiada langsung taman tema, tetapi hari ini, kita (Pulau Pinang) sudah mempunyai dua taman tema utama iaitu Taman Tema Escape (Escape) di Teluk Bahang dan WWW (Batu Feringghi).
“Paling penting adalah hasil kerja keras antara Theme Park Concepts and Services Sdn. Bhd. dengan Kerajaan Negeri selama berbulan-bulan adalah berbaloi apabila WWW siap seperti hari ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian WWW di sini baru-baru ini.
Sebagai taman tema, WWW amat menitikberatkan beberapa langkah keselamatan penting bagi meminimumkan risiko seperti menyediakan penyelamat dalam zon permainan, penutupan taman tema sekiranya cuaca buruk, jambatan untuk memasuki kawasan permainan, pasukan pertolongan keselamatan jet ski, peti pertolongan cemas dan rawatan awal serta jaring bagi menghalang kemasukan obor-obor ke lokasi permainan.
Kini, WWW hanya memasuki fasa satu, keseronokan taman tema berkenaan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Tambah Guan Eng, kemasukan pelancong asing seramai 26 juta ke Malaysia pada 2012 seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.
“Sekarang Pulau Pinang berada di tempat ketiga daripada jumlah besar itu dengan kehadiran 6.09 juta pelancong ke negeri ini pada
tempoh berkenaan.
“Diharap setelah adanya WWW, ia dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke sini (Pulau Pinang),” ujar beliau.
Tiket masuk adalah RM40 kepada orang dewasa dan kanak-kanak (RM30). Waktu operasi adalah dari jam 9 pagi hingga 7 petang setiap hari.