Tambah baik insurans kepada RM155,000 & teliti usaha tingkatkan kebajikan nelayan – Tze Tzin

Admin
BATU MAUNG – Kerajaan Persekutuan akan cuba meneliti permintaan nelayan tempatan di Pulau Pinang  agar kebajikan golongan tersebut terus dijaga.
Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata antaranya berhubung elaun kos sara hidup nelayan dan penambahbaikan insurans tahunan.
“Seperti semua sedia maklum, cabaran kewangan negara kini agak mencabar, walau bagaimanapun sekiranya mampu, kita (Kerajaan Persekutuan) akan teruskan semua elaun dan kemudahan yang telah dinikmati golongan nelayan sebelum ini.
“Berhubung kos sara hidup, kami (Menteri) telah berbincang dengan Tun (Mahathir Mohamad) dan kini sedang menunggu keputusan beliau.
“Manakala, berhubung insurans tahunan…kerajaan telah bersetuju melakukan penambahbaikan iaitu insurans ditingkatkan kepada RM155,000 berbanding RM150,000 sebelumnya,” ujarnya ketika melakukan lawatan kerja ke Kompleks Perikanan Batu Maung, di sini sebentar tadi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee, Ahmad Azrizal Tahir (Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang,MBPP), Raja Kahalid Raja Ariffin (Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, LKIM) dan Nik Rashid Nik Jusoh (Pengarah LKIM Pulau Pinang).
Lawatan Tze Tzin sebentar tadi adalah julung kali diadakan selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri yang baharu.
Selain diberikan penerangan terperinci berhubung LKIM, Tze Tzin turut meluangkan masa mendengar permasalahan yang diutarakan wakil Persatuan Nelayan setempat antaranya berhubung isu pelabuhan, lambakan ikan, permohonan fasiliti dan isu tambakan laut.
Dalam sidang media yang sama, Tze Tzin melihat potensi tangkapan ikan di negeri ini begitu memberangsangkan apabila ia melebihi 100 peratus.
Malah, katanya, hasil tangkapan yang dihasilkan di Pulau Pinang turut mampu dieksport ke luar.
“Ratio tangkapan di laut dan juga agrikultur sama banyak iaitu 50/50.
“Trend penangkapan ini adalah selaras polisi kerajaan yang cuba meningkatkan kedua-duanya di level yang sama.
“Tapi trend ini tidak dapat diadaptasikan di negeri lain… dan Pulau Pinang mempunyai kelebihan ini kerana kedua-duanya sama,” ujarnya.