Tambah baik Program Anak Emas demi tingkatkan literasi kewangan penerima, kata Exco

3588b15f 4bea 4b16 bea6 5636c409e191 LIM Siew Khim (depan, tengah) dan Norliza Abdul Rahim (depan, tiga dari kiri) serta beberapa peneraju utama PTPTN lain merakamkan gambar bersama-sama para penerima Program Anak Emas - Simpan SSPN Prime dalam majlis berkaitan di Mydin Bukit Mertajam di sini pada 3 Ogos 2024.

SEBERANG JAYA – Sejak 15 Januari lepas para pemohon Program Anak Emas yang layak hanya terima RM100 secara ‘one-off’ menerusi hantaran bank, sementara baki RM100 lagi akan didepositkan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime anak mereka.

509a54ce e3d5 487f 8111 fab9fcc638c9
LIM Siew Khim

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Pulau Pinang, Lim Siew Khim berharap dengan kerjasama strategik bersama-sama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam menambah baik program tersebut sekali gus meningkatkan lagi literasi kewangan serta menggalakkan amalan menabung untuk pendidikan anak masing-masing.

“Program Anak Emas ini telah ditambah baik melalui kolaborasi strategik dengan pihak PTPTN.

“Inisiatif baharu ini adalah pendekatan lebih menyeluruh yang mana akan memberikan manfaat jangka panjang kepada anak-anak Pulau Pinang terutama dari aspek pendidikan,” jelasnya semasa merasmikan program berkaitan di ruang legar Mydin Bukit Mertajam di sini pada 3 Ogos 2024.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang itu lagi, pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau memberitahu bahawa pelaksanaan program tersebut dalam tempoh 15 Januari hingga 30 Jun 2024 menyaksikan sebanyak 2,162 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan dengan jumlah RM216,200.

Mula diperkenalkan sejak Jun 2011, difahamkan, Kerajaan Negeri sebelum ini memberikan RM100 secara ‘one-off’ kepada pemohon Program Anak Emas yang layak; kemudiannya dinaikkan pada kadar RM200.

Untuk layak mendapatkan faedah di bawah Program Anak Emas yang telah ditambah baik kini, anak mestilah warganegara dengan rekod pendaftaran dilengkapkan sebelum usia 2 tahun.

Satu lagi syarat kelayakan adalah salah seorang ibu atau bapa kepada anak baru lahir berkenaan mestilah direkodkan sebagai pengundi di Pulau Pinang, dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

aab225d0 8570 4e82 ad35 9288b6165500
NORLIZA Abdul Rahim

Berucap sebelum itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim memberitahu bahawa pelbagai manfaat kepada penyimpan SSPN antaranya pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun; pelindungan takaful atas pendeposit; geran sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak; kadar dividen kompetitif; simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

Serentak pada majlis sama, Siew Khim turut menyampaikan replika cek Program Anak Emas kepada tiga penerima iaitu Ng Yig Meei, 25; Siti Hajar Azudin,28; dan Keshni Devi, 29.

ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Kern; Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ahli Dewan Negara, Datin Hajah Ros Suryati Alang; dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) merangkap Ahli Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Mohd. Yussof Latiff turut menyaksikan acara penyampaikan replika cek Program Anak Emas tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS