Tambah bilangan polis pelancong, wujudkan parkir selesa dan selamat antara saranan umum untuk promosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan domestik

Admin

RATA-RATA anak negeri yang ditemui berbangga dengan perkembangan maju industri pelancongan Pulau Pinang yang kini semakin gah terserlah bukan sahaja menjadi pilihan rakyat tempatan malahan pelancong luar.

Daya tarikan yang beraneka ragam dengan keunikan masakan, warisan semulajadi, tapak-tapak sejarah, bukit bukau dan pantai telah memberi kelebihan yang kompetitif dan menyumbang kepada kejayaan sektor industri pelancongan Pulau Pinang masa kini.

Boleh dikatakan Pulau Pinang lengkap serba-serbi dengan pelbagai fungsi pelancongan sama ada pelancongan pantai, warisan kebudayaan, eko dan agro, sukan, pelancongan kesihatan dan juga MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran).

Berdasarkan Laporan Pemeriksaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2005-2020 secara keseluruhannya, bagi tempoh 2000 hingga 2020 kadar purata pertumbuhan ketibaan pelancongan ke Pulau Pinang adalah dianggarkan 2.5 peratus setahun, iaitu di antara kadar pertumbuhan nasional (6.5 peratus) dengan kadar purata pertumbuhan semasa negeri Pulau Pinang adalah 0.75 peratus.

Pelbagai usaha perlu dijalankan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan domestik khasnya dan pelancongan dunia amnya seperti menambahkan penerbangan terus dan penerbangan charter ataupun melakukan pemasaran ke pasaran berpotensi.

Bagi SHARIFAH JUARIAH SYED JAMAL AHMAD, 40-an, seorang anak seni kelahiran Pulau Pinang ternyata amat berbangga dengan perkembangan sektor pelancongan negeri yang semakin maju.

Berbahasa dalam loghat Penang, beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Pah berkata penglibatannya dalam industri seni banyak memberi ruang kepada beliau melihat perubahan ketara dalam sektor pelancongan terutamanya.

“Penang hebat sekarang! sebagai anak jati Pulau Pinang semestinya kak berbangga.

“Dari bukit-bukau, pantai, seni warisan, sejarah, kampung, keunikan bangunan lama semua kita (Pulau Pinang) ada, serba-serbi tersedia.

“Sebagai anak seni yang terlibat dalam Boria Omara, kami bukan sahaja dapat mendekati para pelancong tetapi melihat keterujaan mereka berada di Pulau Pinang, malahan penglibatan kak bersama-sama juruhebah radio Mutiara. FM melalui Skuad Jom Ronda Mutiara.FM memberikan lebih banyak pendedahan tentang lokasi-lokasi menarik di Pulau Pinang.

“Sebenarnya banyak sangat tempat, lokasi menarik, produk dan makanan tempatan yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan tambahan, melalui skuad ini kami jelajah tempat-tempat menarik yang belum dikenali supaya orang tempatan mahupun pelancong mengetahuinya,” ujarnya yang telah terlibat dengan lebih ratusan drama radio dan televisyen sejak tahun 1990an lagi.

Dalam keterujaannya bercerita sempat Kak Pah kongsikan beberapa lokasi menarik kepada Buletin Mutiara, antaranya keunikan lebih 200 spesis periuk kera di Bukit Bendera, lokasi pemandangan matahari terbenam sambil menikmati semangkuk laksa Penang, keunikan usahawan tempatan menternak ayam piru dan juga udang kara yang pada hemah wartawan, NORSHAHIDA YUSOFF, produk-produk ini berpotensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan pada masa hadapan.

Dalam kerancakkan sektor pelancongan di Pulau Pinang, isu keselamatan wajar dititikberatkan sama, justeru menurut Kak Pah Kerajaan Negeri perlu menambah bilangan polis pelancong di sekitar kawasan pelancongan dalam usaha mewujudkan rasa lebih selamat dalam kalangan pengunjung yang datang ke negeri ini.

“Sebenarnya sektor pelancongan kita (Pulau Pinang) pun dah selamat sebenarnya, banyak saja pengembara atau pelancong yang datang seorang ke negeri ini, sebab mereka merasa selamat meskipun berseorangan, tetapi dalam usaha mewujudkan suasana yang lebih selamat dalam pelbagai isu, wajar agar bilangan polis pelancong ditingkatkan,” ujarnya lanjut.

Pendapat sama turut dikongsi oleh QHAISZER ABDUL GHANI, 30-an, Pembantu Awam di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), bahawa bilangan polis pelancong perlu ditambah dan dalam masa sama Kerajaan Negeri disaran agar mewujudkan lebih banyak parkir kereta yang selesa dan selamat di lokasi tumpuan pelancong.

“Pulau Pinang sememangnya antara negeri di Malaysia yang menjadi destinasi pilihan pelancong, negeri mempunyai ketersediaan ruang percutian yang selamat dan selesa sekaligus mengekalkan serta dapat mempertingkatkan status Pulau Pinang sebagai hub pelancongan,” jelas beliau.

Bagi ANGELA THESEIRA, 39, seorang ahli perniagaan di Melaka, Pulau Pinang umpama rumah keduanya kerana tertarik dengan keindahan pantai-pantai di sini.

“Pulau Pinang adalah rumah kedua saya kerana ia sentiasa menjadikan saya teruja datang ke sini bagi menikmati makanannya, seni bina bangunan yang indah dan juga penganjuran festival bertaraf antarabangsa.

“Malah, anak-anak saya sangat menikmati keindahan pantai di Pulau Pinang, dan boleh dikatakan ia adalah aktiviti wajib datang ke sini setiap kali musim cuti persekolahan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memperkenalkan tawaran hotel dan tarikan pelancongan yang menarik, tawaran seumpama ini amat berguna dan membantu pengunjung untuk lebih pilihan dan penjimatan,” ujarnya.


Bagi peminat hotel warisan, NEESHA SANGARA NARAYANAN, 35, seorang penulis yang berasal dari Kuala Lumpur berpendapat bahawa keramahan penduduk dan kemudahan lengkap yang ditawarkan di Pulau Pinang menjadi pemikat kepada beliau untuk berkunjung ke negeri ini.

“Saya sangat gembira dapat datang semula ke Pulau Pinang setelah tiga bulan, bukan sahaja dapat mengunjungi lokasi menarik di serata negeri tetapi dalam masa sama dapat mengisi perut dengan pelbagai makanan tempatan yang lazat,” ulasnya.