BAYAN LEPAS – Penduduk di kawasan Lilitan Sungai Ara disaran untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan digital sebagai platform untum menambahkan pendapatan sampingan.
Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, keusahawanan digital dilihat menjadi semakin penting dalam perkembangan ekonomi kini.
“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memberi latihan keusahawanan digital kepada 2,000 orang yang terpilih dalam meningkatkan hasil perniagaan dan menjana pendapatan tinggi pada tahun ini.
“Tahun lepas, Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi berkaitan telah melatih 1,092 orang yang mana daripada jumlah itu seramai 500 usahawan yang kita pantau mereka sudah boleh jana pendapatan kira-kira RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.
“Untuk tahun depan, saya berhasrat melatih usahawan-usahawan digital ini menjana pendapatan dengan memaksimumkan penggunaan telefon pintar.
“Justeru, ia dilihat mampu menjana pendapatan dan menangani kos sara hidup,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk dekat Ara Greens, Sungai Ara, semalam.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Azrizal Tahir, wakil dari pada Polis Di Raja Malaysia (PDRM); persatuan-persatuan penduduk barhampiran Lilitan Sungai Ara dan badan-badan pengurusan bersama (JMB).
Tambahnya, perkembangan teknologi pada masa ini menyebabkan rakyat memilih untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran atas talian berbanding ke pasar-pasar.
Pada majlis itu juga, penduduk sekitar Lilitan Sungai Ara membangkitkan beberapa isu utama di kawasan berkaitan termasuk masalah parkir, perumahan dan lain-lain untuk diambil tindakan lanjut.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI