Tambah tenaga kerja sejajar pertambahan penerbangan – Exco

Admin
img 20240702 wa0033 WONG Hon Wai.

GEORGE TOWN – Peningkatan jumlah penerbangan terus antarabangsa ke Pulau Pinang dalam beberapa bulan akan datang memerlukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menambah tenaga kerja bagi menangani kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai menekankan keperluan tersebut bagi melicinkan operasi ketibaan atau pelepasan.

“Saya difahamkan sebanyak lima penerbangan antarabangsa berlepas dari Pulau Pinang pada 1 Julai baru-baru ini, mengakibatkan ribuan orang berada di lapangan terbang.

Lebih memburukkan keadaan, kaunter imigresen tidak dibuka sepenuhnya menyebabkan barisan beratur menjadi panjang di balai berlepas.

“Saya amat berharap pihak JIM akan menambah tenaga kerja bagi memastikan prosedur yang lebih lancar dapat dijalankan.

“Apabila kaunter imigresen tidak dibuka sepenuhnya, ia menyebabkan ketidakselesaan yang ketara kepada penumpang penerbangan dan justeru itu kelemahan ini perlu diperbaiki,” katanya ketika ditanya mengenai kesesakan penumpang.

Sehingga Mei tahun ini, beliau memaklumkan bahawa LTAPP mengendalikan 290 penerbangan antarabangsa setiap minggu berbanding 259 penerbangan seminggu pada Disember tahun lepas.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : ADLERNA RAHAYU AHMAD RADZI