MULAI 7 September, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menetapkan pembayaran tambang dua hala bagi pejalan kaki pada kadar rata RM1.20 seorang, sementara RM2 bagi kenderaan jenis motosikal, basikal dan beca menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai.
Pada awal pagi tadi (5 September 2023), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS sempat membuat tinjauan umum di sekitar Penang Sentral dekat Butterworth, iaitu satu-satunya pintu pelayaran feri baharu Pulau Pinang ke Pangkalan Raja Tun Uda di sebelah George Town.
Sekitar 8.30 pagi, semasa waktu puncak pekerja ke pejabat menyaksikan aliran trafik di laluan kenderaan di sini dalam skala sederhana.
Kelihatan dua petugas lapangan PPSB sedang mengedarkan risalah kecil berhubung kenaan tambang kepada semua jenis feri baharu Pulau Pinang secara tanpa tunai bermula Khamis ini.
Tinggal di Penaga dekat Daerah Seberang Perai Utara, ABDUL HADI ZAINI bersama-sama teman wanitanya memberitahu bahawa ini kali pertama mereka berdua menaiki feri baharu jenis katamaran di sini.
Beliau turut mengaku tahu mengenai operasi perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang secara percuma selama sebulan sejak 7 Ogos lepas, sebagaimana diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebelum ini.
“Feri baharu Pulau Pinang, kami belum pernah naik lagi, cuma dengar orang cakap lebih selesa berbanding perkhidmatan feri di Langkawi, Kedah.
“Tambang berapa pun kami tidak tahu sebenarnya, cuma harap kadarnya adalah berpatutan,” jelasnya yang juga seorang pekerja industri sambil memegang risalah berkaitan kaedah pembayaran tanpa tunai yang baru diedarkan oleh seorang petugas lapangan tadi.
Berdasarkan risalah kecil itu, difahamkan PPSB menawarkan dua jenis kaedah pembayaran tambang tanpa tunai.
Kaedah pertama, tempahan secara dalam talian dengan membuat imbasan kod QR atau melalui laman ferry.penangport.com.my.
Kaedah kedua, pembayaran tambang dengan menggunakan kad bank jenis Visa atau Mastercard, Touch ‘n’ Go e-Wallet, GrabPay ataupun Boost.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata dwi kaedah pembayaran tambang tanpa tunai tersebut sebenarnya lebih memudahkan penumpang terutama pengguna setia sistem pengangkutan awam bersepadu dari Penang Sentral ini.
“Bagi saya, kaedah pembayaran tanpa tunai ini lebih mudah, cepat berbanding pembayaran pakai duit kertas atau syiling sampai mengakibatkan ‘bottlenecking’ di kaunter perkhidmatan.
“Lagi satu, bagi penumpang warganegara jika tidak mempunyai kad Touch ‘n’ Go, masih boleh menggunakan MyKad (kad pengenalan sendiri dengan fungsi pintar Touch ‘n’ Go juga),” jelasnya lagi sambil memuji usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu di Pulau Pinang.
Bagi responden kedua pula, R. MALIGAH, 63, beliau sangat riang apabila mendapat tahu feri baharu Pulau Pinang beroperasi secara percuma sejak 7 Ogos lepas.
Dalam usia emas sekarang, Maligah berkata beliau sudah beberapa kali menaiki feri baharu jenis katamaran di sini.
“Saya tinggal di Farlim (dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih), selalu menaiki pengangkutan awam (termasuk feri baharu) sendirian untuk menziarahi keluarga anak saya di Seberang Jaya.
“(Dan) dengan pelbagai kemudahan seperti lif dan eskalator serta penyaman udara di ruang menunggu dan astaka, bagi saya semua kemudahan ini adalah begitu mesra pengguna termasuk warga emas.
“Soal kaedah pembayaran tambang tanpa tunai mulai 7 September 2023, saya mencadangkan supaya ada kadar ‘istimewa’ untuk warga emas, OKU (Orang Kurang Upaya) serta kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah,” jelasnya yang juga pemegang Pas Mutiara iaitu pas perjalanan bulanan tanpa had untuk semua pengangkutan awam di negeri ini.
Menurut lagi, walaupun tambang pada kadar rata yang ditetapkan sekarang adalah begitu berpatutan, namun jika ada ‘kadar istimewa’ untuk gender tertentu sekali gus akan menunjukkan keprihatinan kerajaan hari ini pada kelompok penumpang yang berkenaan.
“Saya difahamkan sistem perkhidmatan pengangkutan awam lain memang ada kadar ‘istimewa’ untuk warga emas, jadi tidak keterlaluan jika Kementerian Pengangkutan mahu melihat semula tambang pada kadar rata untuk semua gender ketika ini,” jelasnya lagi dalam nada sederhana.
Pekerja bukan warganegara, MUHYANI MARHENSHAH, 27, berkata perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang yang menghubungkan Seberang Perai ke bahagian Pulau adalah begitu penting untuk beliau sejak empat tahun bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.
“Saya tidak pasti ada atau tidak bas awam dari Seberang Perai ke bahagian Pulau, tetapi saya yang tinggal di Simpang Ampat memang ke KBJ (Kompleks Bukit Jambul dekat bahagian Pulau) menaiki bas awam dan feri ini.
“Bas awam sehingga kini masih boleh membayar tambang dengan menggunakan tunai, tidak ada masalah, sementara feri masuk percuma, saya pun baru tahu selepas 7 September (2023) nanti kaedah pembayaran adalah secara tanpa tunai.
“Bagi saya, sepatutnya semua tidak ada masalah kerana semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), semua sudah terbiasa melakukan transaksi melalui e-Wallet Touch ‘n’ Go dan beli barang secara dalam talian,” jelasnya lagi sambil menyambut baik usaha parti pemerintah menyediakan perkhidmatan pembayaran tambang tanpa tunai bagi penumpang feri baharu Pulau Pinang.
Nada hampir sama turut dikongsi oleh seorang lagi pekerja bukan warganegara, DIAH AYU, 38, yang tinggal dan bekerja kilang di sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan.
“Bagi saya, pembayaran tambang feri tanpa tunai lebih mudah kerana pengunjung tidak perlu beratur panjang semasa waktu puncak bagi mendapatkan tiket feri.
“Lagi satu, paling penting kemudahan feri baharu Pulau Pinang dengan penyaman udara dan pelbagai kemudahan lain adalah begitu selesa, jadi soal kaedah pembayaran tambang sama ada secara tunai atau tanpa tunai bukan lagi perkara utama,” jelasnya lagi sambil memuji mutu perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu di negeri ini.