GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan cadangan pembangunan sebuah bangunan Majlis di atas Lot 8865,20354,20358 dan 20359 dekat Jalan Sungai Dua, di sini.
Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, pembangunan semula di kawasan tersebut yang terbahagi kepada tiga fasa dilihat sebagai satu keperluan seiring dengan pembangunan di sekeliling kawasan tersebut.
“Seperti yang kita tahu, kawasan tersebut juga mempunyai nilai hartanah tinggi jadi kita melihat satu pembangunan yang melengkapi kawasan setempat yang menempatkan Terminal Bas Sungai Nibong dan akan datang, stesen transit aliran ringan (LRT).
“Buat masa ini MBPP akan memanggil ‘request for proposal (RFP) dalam tempoh enam bulan untuk melihat dan menilai cadangan pembangunan semula di kawasan terlibat.
“Antara cadangan yang kita lihat adalah pembinaan bangunan MBPP (di fasa 1) yang mempunyai fungsi pelbagai dan memudahkan urusan orang ramai.
“Manakala fasa 2 dan 3 kita cadangkan pembangunan bercampur yang mampu menjana pendapatan MBPP, kerana kita tidak boleh bergantung kepada cukai semata-mata,” ujar Rejendaran dalam satu sidang media sejurus Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2024 di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.
Turut hadir, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Ahli-ahli Majlis MBPP dan Ketua-ketua Jabatan.
Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis MBP Tan Chiew Choon dalam pada itu mengumumkan garis panduan bagi permohonan operasi sewaan skuter elektrik di kawasan pulau.
Tegasnya, skuter elektrik tersebut sama sekali tidak dibenarkan beroperasi di atas jalan raya.
“Setakat ini kita sudah ada laluan khas cuma di laluan basikal dari Q1 hingga ke D’Piazza (Bayan Baru).
“Laluan lain yang sedang dikaji adalah sepanjang laluan basikal yang dikhaskan.
“Sekiranya ingin memohon lesen, skuter mestilah dapat kelulusan Institut Penyelidikn Jalan Raya Malaysia (MIROS), mendapat kelulusan SIRIM (Institut Piwaian dan Penyelidikan Industri Malaysia) termasuk menyediakan topi keledar,” ujar Chiew Choon kepada pemberita.
Syarat dan permohonan lesen boleh dibuat melalui laman web rasmi MBPP di laman ulesen.mbpp.gov.my.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN