Tanah oh Tanah…

GEORGE TOWNSemakin rancak fitnah dilemparkan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berhubung isu penjualan tanah negeri, semakin jelas fakta sebenar dirungkai bahawa tindakan tersebut sebenarnya berlaku ketika pemerintahan kerajaan lama, Barisan Nasional (BN).

Terbaru adalah berhubung dakwaan bahawa Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kononnya tergadai sekiranya dibiarkan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) adalah fitnah semata-mata.

Menjawab fitnah tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik menyatakan bahawa peratusan pemilikan menara (tower) oleh PDC adalah sebanyak 42.95 peratus, manakala bagi podium (37.59 peratus). Selain itu, tanah di pembangunan fasa 5 berkeluasan 4.5 ekar juga masih dimiliki PDC.

“Mengikut rekod PDC, status pemilikan terkini bagi fasa-fasa melibatkan pembangunan adalah sebagaimana tersenarai. Hartanah-hartanah tersebut telah dijual oleh PDC kepada pihak-pihak terlibat sebagaimana dinyatakan.

  •  Dijual kepada Komtar Hotel Sdn. Bhd. pada 22 Ogos 1983 untuk membina Hotel Shangri-La atau kini dikenali sebagai Hotel Traders.
  • Dijual kepada Idris Hydraulic Properties Sdn. Bhd., 11 Julai 1995 yang kini dibangunkan pusat membeli-belah 1st Avenue .
  • Dijual kepada Metrojaya Sdn. Bhd., 27 Mac 1990 untuk pembangunan Metrojaya.

“Jika nak dakwa PR jual banyak asset dan hartanah, situasi ini sebenarnya telah lama terjadi. Data-data ini membuktikan bahawa lebih separuh dari Komtar telah dijual sejak pemerintahan kerajaan lama,’’ tegasnya pada majlis siding media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow.

Wei Aik memberitahu, pelan asal fasa 3 (kini 1st Avenue) merupakan projek rumah pangsa 17 tingkat.

“Tapak asal Prangin Mall (4B) juga merupakan lokasi asal cadangan mendirikan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi juga telah dijual.

Tapak asal 1st Avenue pula adalah untuk pembinaan rumah murah yang juga mengalami nasib sama,’’ jelas beliau.

Sementara itu, bagi pembelian dan penjualan tanah serta hartanah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Kon Yeow menjelaskan bahawa sehingga kini, rekod MPPP menunjukkan bahawa majlis memiliki 818 lot tanah dengan keluasan keseluruhan 45,107,581 kaki persegi (1,035.5 ekar) dengan anggaran nilai pasaran semasa sebanyak RM3.1 bilion.

“Tanah-tanah tersebut diperoleh melalui pembelian, pengambilan balik di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, gantian unit-unit oleh pemaju, pindah milik oleh pemaju kerana mematuhi kehendak di bawah syaratsyarat Pelan Kebenaran Merancang (Perjanjian Namaan RM1.00)

“Malah, tanah-tanah majlis ini antaranya adalah untuk kegunaan pelebaran jalan, kompleks pasar awam/ penjaja/dewan masyarakat, taman rekreasi/riadah, lorong belakang, perdagangan, kuarters, perumahan, stesen janakuasa, tanah kubur dan lainlain,’’ ujar beliau.

Tambah beliau, mengikut rekod, sejak tahun 1990 hingga 2012, MPPP telah membelanjakan RM 44,136,023 untuk tujuan pengambilan balik sebanyak enam lokasi (tujuh lot) tanah dengan keluasan 177.2620 ekar.

“Mengikut rekod tempoh sama, sebanyak sembilan lokasi (16 lot) (termasuk dua hak milik strata) berkeluasan 9.4113 ekar telah dijual Majlis dengan memperoleh bayaran berjumlah RM29,436,804 hasil pelupusan berkenaan,’’ kata Kon Yeow.

Beliau menegaskan bahawa penjualan yang dilakukan bukannya untuk tujuan suka-suka atau hendak cari untung semata-mata, sebaliknya, ia bagi menampung kos RM40.160 juta bagi menaiktaraf projek awam seperti Taman Rekreasi Balik Pulau, pasar baru untuk Teluk Kumbar, Kompleks Bayu Senja, dan pelebaran Jalan Masjid Negeri.

“Bagi semua urusan pembelian Tanah (sama ada pembelian terus atau pengambilan balik) dan penjualan Tanah atau premis perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan dan keputusan perlu disahkan dalam Mesyuarat Biasa Majlis.

“Bagi pelupusan atau penjualan tanah, ia perlu mendapat kebenaran daripada Kerajaan Negeri seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 101 (r) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan semua penjualan tanah atau premis perlu melalui proses tender terbuka,’’ ujarnya.

BANGUNAN Dewan Bandaran diserikan dengan cahaya lampu berwarna-warni pada Sambutan Hari Malaysia dan Persembahan Cahaya & Irama Raya Peringkat Negeri Pulau Pinang menggunakan teknologi 3D video projection mapping di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.
BANGUNAN Dewan Bandaran diserikan dengan cahaya lampu berwarna-warni pada Sambutan Hari Malaysia dan Persembahan Cahaya & Irama Raya Peringkat Negeri Pulau Pinang menggunakan teknologi 3D video projection mapping di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.