Tanam pokok spesis terancam pulihara bumi

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Sebagai inisiatif berterusan berhubung usaha pemuliharaan bumi bagi kepentingan generasi depan,sebanyak 60 batang pokok daripada empat spesis terancam ditanam di Taman Jajar Lebuh Kecil Lima, Taman Sri Nibong berdekatan susur masuk ke pusat membeli-belah, Queensbay Mall di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan upacara tersebut adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Pengarah Pemuliharaan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna.

Kon Yeow berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada acara dalam menyokong penganjuran program Earth Hour bertemakan ‘I Will If You Will’ yang disambut pada 29 Mac lalu pada 8.30 malam hingga 9.30 malam.

“Bagi saya, Earth Hour tidak terhad kepada menutup lampu selama sejam semata-mata, sebaliknya, kita perlu terus menjalankan usaha seperti ini selama mungkin bagi memulihara bumi untuk generasi masa depan,” ujarnya pada Majlis Penanaman Pokok-pokok Earth Hour di sini baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, empat spesies pokok terancam yang ditanam adalah Anisoptera Ccaphula, Cratoxylum Cochinchinense, Firmiana Malayana dan Fagrea Auriculata.

Usaha tersebut adalah membabitkan dana sebanyak RM20,000 yang dibiayai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Sundari ketika mengulas menyambut baik ikrar ditunaikan Kerajaan Negeri dan MPPP dalam mewujudkan suasana hijau, landskap menarik serta penanaman pokok di dalam bandar.

“Tanaman hijau seperti ini bukan sahaja berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida, malah ianya akan menapis segala pencemaran, menenangkan nilai estetika serta menjadi tempat rekreasi dalam bandar.

“Kami turut mengalu-alukan juga Pulau Pinang menjadikan projek ini sebagai satu inisiatif pembabitan dalam Earth Hour demi memberi kesedaran yang lebih berkesan kepada penduduk serta pelancong amnya,” ujar beliau.