Tandas ‘Hijau’ Pantai Mas sedia digunakan

tandasawampantaimas

TANDAS Awam Pantai Mas yang siap dinaiktaraf.

 

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BATU FERINGGHI – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berjaya mengimplementasikan projek tandas ‘hijau’ pertama menerusi Tandas Awam Pantai Mas di tanah Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Operasi tandas tersebut pada dasarnya adalah berteraskan elemen hijau menggunakan tenaga solar bagi mengurangkan kos penggunaan elektrik, takungan air hujan untuk kegunaan umum dan beberapa ciri lain berkonsepkan mesra persekitaran.

Bagi pengekalan imej dan kebersihan Tandas Awam Pantai Mas, hotel terkemuka, Hotel Lone Pine telah menjadikannya sebagai anak angkat di bawah pelaksanaan program tanggungjawab sosial pihaknya. Lanjutan itu, peruntukan berjumlah RM50,000 setahun diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.

Tandas tersebut kemudian diserahkan kepada Pengurus Urusan Hotel Lone Pine, Guido Farina oleh Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu.

Guan Eng berkata Kerajaan Negeri amatpeka dalam memastikan semua infrastruktur dan kemudahan awam dibaikpulih serta dinaiktaraf bagi memberi keselesaan bertaraf antarabangsa kepada rakyat serta pengunjung.

“Inisiatif diusahakan melalui program Public Private Partnership ini diharap bakal menjadikan tandas ini (Tandas Awam Pantai Mas) sebagai role model dan mewujudkan suasana persaingan yang sihat dalam mempertingkatkan imej serta tahap pengurusan tandas di negeri ini,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Pengurusan Tandas Awam Pantai Mas kepada Hotel Lone Pine di Batu Feringgi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Patahiyah berkata, pelbagai program telah dianjurkan MPPP untuk meningkatkan kesedaran awam berhubung penjagaan tandas awam seperti kempen tandas bersih, seminar, pameran dan sistem ‘star rating’ bagi menilai tahap kebersihan tandas awam di Pulau Pinang.

“MPPP mengambil komitmen dan peranan serius untuk memastikan tandas bersih dengan melakukan pemulihan. Melalui penyertaan pihak swasta, kita percaya kebersihan dan corak penyelenggaraan yang lebih kompetetif berjaya dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Projek tersebut dibiayai oleh Kementerian Pelancongan.