Tanggungjawab bersama wujudkan persekitaran selamat dan sihat – Datuk Bandar MBPP

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melancarkan program pemasangan mesin Automated External Defibrillator (AED) dan kini inisiatif berkaitan semakin membuka mata banyak pihak.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berkata demikian sambil memuji inisiatif syarikat Illinois Tool Works (ITW) Meritex Sdn. Bhd. yang komited menyediakan peralatan tersebut.

“Bagi menyempurnakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), syarikat (ITW Meritex Sdn. Bhd.) telah memasang sebuah mesin AED sebagai kemudahan untuk pekerja mengakses dengan segera jika berlaku kecemasan pada waktu yang tidak dijangka.

“Di samping itu, mesin AED kini dilihat menjadi satu keperluan penting dan juga sebagai kemudahan yang perlu ada di tempat awam untuk capaian lebih mudah demi menyelamatkan nyawa,” ujarnya pada majlis Perasmian Public Access Defibrillator AED di premis syarikat terbabit di Zon Perindustrian Bebas Fasa 3 dekat sini.

IR. A. Rajendran menandatangani ‘mock cheque’ perasmian pemasangan AED dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemulihan Jantung Pulau Pinang (PHSS), Dato’ Dr. Luah Lean Wah; Pengurus Besar ITW Merirex Sdn. Bhd., Liew Shean Nian serta Pengerusi Persatuan Komuniti Pasukan Tindakan Cemas Georgetown (CERT Georgetown), Lim Thiam Chong.

Dalam sesi yang sama, Rajendran turut menyatakan bahawa pemasangan mesin AED wajar dipertingkatkan lagi secara meluas di seluruh negeri terutamanya tempat-tempat awam.

“Pada pendapat saya, mesin AED wajar dipasang di lokasi yang tertumpu ramai orang awam terutama sekali pusat membeli-belah, taman permainan dan banyak lagi.

“Oleh itu, saya berharap agar semua negeri dapat mencontohi negeri Pulau Pinang bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat kerana inisiatif seperti ini memerlukan sokongan dari ramai pihak untuk memastikan ia tercapai,” katanya lagi.

Difahamkan, pihak PHSS turut berjaya menyumbang mesin AED ke beberapa tempat antaranya Balai Bomba Teluk Bahang, Balai Bomba Sukarela Sri Tanjung, Masjid Kapitan Keling, Persiaran Karpal Singh, Botanical Garden dan Kompleks Makanan Persiaran Gurney.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : M. VEKENESVARAN