KURANG 24 jam dari sekarang, pelan gangguan bekalan air berjadual akan dilaksanakan, bermula jam 9.00 malam, esok.
Selama tempoh kira-kira 18 jam, sejumlah 33,500 pengguna yang tinggal sekitar kawasan Air Itam, Farlim dan Paya Terubong akan terjejas.
Selaku operator air utama negeri, Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menutup sementara lima injap di lima rumah pam.
Ini bagi memudahkan kerja-kerja penyambungan akhir projek pelencongan saluran paip berdiameter 600 milimeter (mm) di Lebuhraya Thean Teik, dekat perkarangan hadapan Pasar Farlim di sini.
SWSI atau gangguan bekalan air berjadual pada kali ini adalah berkaitan secara langsung dengan projek pelencongan saliran paip air 600mm bagi membolehkan kerja-kerja tebatan banjir berwajib bagi Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu – Air Itam disempurnakan.
Menjelang tengah hari tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan wartawan pelatih, NUR BATRISYIA IDRUS serta jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD ada membuat tinjauan di lokaliti yang dijangka terjejas kelak.
Sehingga 2.00 petang tadi, didapati belum ada persiapan pada peringkat lapangan daripada mana-mana pihak bagi mendepani SWSI pada kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan yang dihubungi kemudian memberitahu bahawa pihaknya telah mengerahkan Bahagian Operasi Air untuk menempatkan tangki air secara kekal di beberapa lokasi strategik termasuk dekat Pasar Farlim.
“Kita (Bahagian Operasi PBAPP) akan sediakan tangki air secara kekal – tak bergerak – di pasar Farlim dan beberapa kawasan strategik lain supaya mana-mana pihak menghadapi masalah, mereka boleh mendapatkan air di tempat yang telah ditentukan ini.
“Esok pagi, kita akan mula sediakan tangki air secara kekal tersebut,” jelasnya.
Bukan persiapan itu sahaja, Pathmanathan berkata, PBAPP turut menyediakan pasukan dalam keadaan siap siaga sepanjang tempoh SWSI, jika berlaku kecemasan seperti kematian dan sebagainya.
“Mereka (penduduk yang terjejas) boleh meminta bantuan kecemasan PBAPP, kita akan hantar bantuan tangki air bergerak ke kawasan tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepatutnya PBAPP tidak perlu menyediakan tangki air kekal di kawasan yang terjejas memandangkan tempoh SWSI adalah kurang dari 24 jam.
Malah jelasnya lagi, bagi SWSI yang dijangka mengambil masa kira-kira 18 jam sahaja, sepatutnya semua unit kediaman dan komersial tidak menghadapi masalah bekalan air, jika di premis masing-masing memang dilengkapi tangki air untuk tempoh 24 jam penggunaan air.

Buletin Mutiara difahamkan, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang sejak kelmarin telah mengerahkan pasukannya untuk menyebar notis gangguan bekalan air secara bersemuka (offline) dan dalam talian (online).
“Sekarang, semua persatuan penduduk memang ada ‘WhatsApp group’ jadi kita cuba memanfaatkan semaksimum mungkin aplikasi ini untuk memastikan semua pihak yang terjejas ambil maklum pelan gangguan bekalan air berjadual yang akan dilaksanakan dan membuat persiapan awal.
“Tidak cukup dengan itu, saya dan pasukan saya turut menyebarkan notis gangguan bekalan air berjadual kepada penduduk,” ujarnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada PBAPP kerana telah mengeluarkan notis SWSI lebih awal.
ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai yang juga Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif berkata, sejak semalam Pusat Khidmat Rakyatnya juga turut mengambil bahagian menerangkan perkara sebenar di sebalik gangguan bekalan air berjadual pada kali ini.
“Kami telah membantu PBAPP menyebarkan berita ini kepada pelbagai kumpulan penduduk.
“Gangguan bekalan air ini disebabkan oleh kerja-kerja penyambungan paip air bagi lebuh raya baharu yang sedang dalam pembinaan.
“Kebanyakan bangunan bertingkat tinggi mempunyai tangki air dan dijangka mampu menampung keperluan air penduduk sepanjang kerja-kerja penyambungan paip air berlangsung.
“Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan untuk menyimpan air bagi kegunaan peribadi.
“Pejabat saya telah berhubung dengan PBAPP, MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), dan (Persatuan Bomba Sukarela (PBS) serta agensi-agensi berkaitan supaya berada dalam mod bersiap sedia untuk memberikan bantuan,” jelasnya lagi.
Difahamkan, PBAPP sebenarnya memerlukan 12 jam sahaja untuk kerja-kerja fizikal bagi penyambungan akhir projek pelencongan saluran paip tersebut, sementara baki enam jam selanjutnya adalah tempoh proses pemulihan semula bekalan air ke hujung paip agihan (EoL) yang terjejas, kelak.
END