Tangki tambahan sekitar Bukit Mertajam bagi bantu rakyat hadapi proses pemulihan air

img 7190 DANIAL Gooi Zi Sen (tiga dari kiri), Lee Khai Loon (empat dari kiri) bersama-sama lima lain seusai sidang media berkaitan persiapan logistik peringkat Parlimen Bukit Mertajam bagi membantu penduduk menghadapi proses pemilihan air nanti, di sini pada 6 Januari 2024.

PADANG LALANG – Sejumlah tangki tambahan akan diletakkan di kawasan-kawasan perumahan berstrata sekitar kawasan Parlimen Bukit Mertajam bagi membantu penduduk yang terjejas sepanjang tempoh pemulihan bekalan air nanti.

Exco Belia dan Sukan, Danial Gooi Zi Sen memberitahu bahawa Flat Kota Permai; Flat Desa Damai dan Flat Lebuh Nangka dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang akan mendapat tangki statik utama dengan kapasiti 500 gelen bekalan air nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu berkata lagi, dua blok perumahan bertingkat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan di sini akan mendapat 48 tangki air berkapasiti 800 gelen dan tiga tangki air 10,000 gelen.

“(Penyediaan tangki air statik ini) untuk memastikan bekalan air yang mencukupi sepanjang tempoh gangguan bekalan air tersebut,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon di sini pada 6 Januari 2023.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP), Bernard Cheen Goon Hooi bagi pihak Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Sumber Manusia); dan empat individu lain.

Bagi KADUN Machang Bubuk pula, Khai Loon memberitahu bahawa sebanyak 21 tangki air berkapasiti 400 gelen telah disediakan di 15 kawasan rumah pangsa kos rendah.

Itu, menurutnya, tidak termasuk bantuan logistik tambahan daripada Pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat Jalan Rozhan Alma; Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Machang Bubuk; PBS Taman Sukun dan PBS Permatang Tinggi.

Bantuan logistik tambahan tersebut, menurutnya lagi, akan ditempatkan di beberapa kawasan perumahan seperti Kampung Baru Machang Bubuk; Kampung Baru Permatang Tinggi; Taman Jambu; Taman Impian; Taman Impian Jaya; Taman Impian Ria; Taman Perumahan Rakyat Tok Suboh; Taman Sukun; Taman Sukun Indah dan Taman Markisah.

Bagi KADUN Berapit pula, Buletin Mutiara difahamkan sebanyak 20 tangki air besar dengan kapasiti 400 gelen telah disediakan dan akan ditempatkan di 11 kawasan strategik.

Dalam operasi pengagihan air ini, kenyataan bertulis berkaitan dipetik menjelaskan bahawa seramai 20 orang anggota daripada PBS Pekan Bukit Mertajam dan PBS Berapit, Ahli Majlis bagi MBPP, anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pusat Khidmat KADUN Berapit akan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada penduduk tempatan.

img 7191img 7193Di samping itu, Zi Sen memberitahu bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) turut akan membekalkan air kepada Hospital Bukit Mertajam, klinik kesihatan dan hospital swasta yang berkenaan demi memastikan institusi awam tersebut dapat beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh rancangan gangguan bekalan air berjadual mulai 10 hingga 14 Januari 2024.

“Untuk sekolah yang terkesan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mertajam; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam; Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru; Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Jit Sin; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kim Sen dan SMK Jalan Damai, sejumlah 11 tangki air akan disediakan.

“Manakala, 8 tangki akan ditetapkan di Dewan MPKK Taman Permata; Dewan MPKK Taman Tenang; tempat letak kereta Pasar Awam Kampung Baru; Pusat Pertubuhan Tek Chiao Tze Ch’ih K (Taman Kuari) serta Pusat Persatuan Penganut Zhen Jun Da Di (Kampung Aston) untuk memastikan bekalan air yang mencukupi.

“Untuk kawasan Parlimen Bukit Mertajam dibawah daerah Seberang Perai Tengah, gangguan bekalan air adalah dijangka untuk tempoh masa 48 jam bermula 10 Januari 2024 dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12 Januari 2024 jam 6.00 pagi,” jelasnya lagi.

Tujuan hakiki PBAPP melaksanakan rancangan gangguan bekalan air berjadual 10 hingga 14 Januari ini bagi melaksanakan penukaran dua injap kawalan 1200 milimeter (mm) dekat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di samping kerja-kerja penambahbaikan di 22 lokasi lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB