Tanpa muzium tinggalan sejarah akan lenyap – Kon Yeow

Admin
4898aa13 7c65 4c82 89ef 75144c2fa416

GEORGE TOWN- Tanpa kewujudan institusi muzium, segala warisan tinggalan sejarah akan lenyap daripada pengetahuan anak bangsa, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Justeru, beliau sedar bahawa tugas sebagai penjaga amanah warisan sejarah serta kebudayaan bukannya mudah dan sering kali berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat atas segala usaha pemeliharaan dan pemuliharaan fakta, artifak mahupun tapak bersejarah demi pembangunan jati diri bangsa Malaysia.

“Saya percaya, salah satu proses pembangunan sosial dan pengukuhan identtiti serta jati diri adalah dengan menyuntik perkembangan ilmu dan pembentukan adab melalui pembelajaran sejarah serta juga warisan.

“Sesungguhnya, siapalah seseorang manusia tanpa jati diri dan identiti,” jelasnya pada Majlis Perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan dengan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) sebagai tuan rumah di Dewan Sri Pinang dekat sini sebentar tadi.

 

4c2633ef 2713 44c7 a463 052652c0cf07

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Setiausahan Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad dan dif-dif kehormat lain.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berharap, Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan dapat menarik minat semua golongan daripada pelbagai peringkat usia untuk sama-sama melihat, menghayati dan mengagumi nilai-nilai sejarah sesuatu negeri atau negara.

“Ini kerana, bersempena penganjuran pada hari ini, kita bertuah kerana semua muzium kini berpameran di bawah satu bumbung.

“Malah, hari ini kita semua berkumpul dalam kawasan George Town, yang merupakan salah sebuah bandar bersejarah dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berdasarkan nilai keunggulan sejagat dengan mempamerkan kepelbagaian budaya yang sebati dalam warisan hidup serta warisan binaan,’’ ujarnya.

c2d2a413 e573 4a4b a198 1f1878a07b48

 

Selain pameran muzium negeri-negeri yang mengambil bahagian, turut terlibat adalah dari Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Penang Global Tourism, Kraftangan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Malay Heritage Centre Singapore, IHH Creative Hub Jakarta, Asosiasi Museum Indonesia Kalimantan, Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kabupaten Sintang serta Alliance Francaise de Penang. Turut berlangsung, pameran dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kenderaan antik dan juga jualan makanan serta minuman.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI