PENEMUAN tapak arkeologi dilihat berpotensi untuk menarik kehadiran pelancong asing sekali gus memacu sektor pelancongan negara ke tahap lebih tinggi sekiranya dipelihara dengan baik.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin semasa mengadakan lawatan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang baru-baru ini menyatakan bahawa tapak arkeologi perlu dikekalkan sebagai warisan yang menyumbang kepada ilmu dan kebudayaan masyarakat.
“Susulan lawatan yang dijalankan ini, saya berpendapat bahawa Galeri Arkeologi Guar Kepah yang terletak di Seberang Perai Utara (SPU) akan dibangunkan sebagai galeri pertama di negeri Pulau Pinang.
“Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai impian untuk menggabungkan Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Muzium Arkeologi Lenggong sebagai sebuah trio yang menarik, dan dalam masa sama dapat mempromosikan sektor ekopelancongan,” ujarnya yang turut membuat lawatan ke Tapak Arkeologi Sungai Batu.
Dalam sesi sama, Soon Hin turut memaklumkan bahawa kos penyelenggaraan bagi membangunkan bidang (arkeologi) bakal menelan belanja yang besar.
“Usaha mengekskavasi tapak-tapak arkeologi memerlukan kepakaran yang khusus dalam bidang ini dan ia bukannya kerja yang mudah,” jelasnya sambil menyatakan tapak arkeologi di Malaysia perlu diberi penumpuan yang lebih besar.
Sementara itu, Soon Hin turut berharap agar kerancakan pembangunan pada masa hadapan tidak menjadi batu penghalang untuk bidang arkeologi menjadi topik berbincangan masyarakat.
“Saya berharap perancangan untuk membangunkan Galeri Arkeologi Guar Kepah menjadi satu ‘power stone’ dan menjadi gabungan trio yang lengkap seperti yang dijelaskan tadi.
“Pada masa sama, kita dapat mengekalkan dan memelihara sejarah warisan dari zaman dahulu serta mempromosikan sektor pelancongan ke persada dunia,” katanya sambil menaruh harapan agar bidang arkeologi negara mampu bersaing dengan negara luar seperti Thailand dan Indonesia jika berpeluang.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad yang turut menyertai lawatan itu memuji sikap proaktif Soon Hin semasa membuat pemerhatian di tapak-tapak yang telah dilawati.
“Saya amat kagum dengan tindakan YB Soon Hin yang mengambil langkah untuk turun padang dan melihat sendiri tapak warisan arkeologi ini.
“Perancangan untuk membangunkan galeri di Guar Kepah diharapkan berjaya memandangkan beliau telah mendapat gambaran yang jelas serta memperoleh pengetahuan tentang kebaikan dan keburukan dalam mencapai usaha mengekskavasi tapak-tapak arkeologi kelak,” katanya yang menyokong inisiatif tersebut.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR