Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengutuskan sepucuk surat kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah bagi memohon geran RM20 juta untuk pemulihan tapak warisan dunia di negeri ini.
Permohonan geran tersebut termasuklah pemulihan di tapak pra-sejarah Guar Kepah, Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) yang menempatkan penempatan awal sejak zaman neolitik hasil kajian serta penemuan Jabatan Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM).
Guan Eng memberikan reaksi tersebut ekoran siaran akaun Tweeter milik Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bertarikh 4 Disember lalu yang membidas bahawa Kerajaan Negeri telah menjadikan Guar Kepah sebagai tempat pertanian.
“Lesen dudukan sementara (TOL) kepada para petani berlokasi di Guar Kepah dikeluarkan sebelum 2008 lagi dan Kerajaan Negeri tidak bercadang melanjutkan tempoh tersebut.
“Surat ini merupakan bukti bahawa kita (Kerajaan Negeri) akan memulihara kawasan pra-sejarah ini,’’ tegasnya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Universiti Teknologi Toyohashi di sini baru-baru ini.
Tambah Guan Eng, surat pertama sebelum ini pernah dihantar kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bertarikh 5 Ogos 2013.
“Diharap permohonan ini mendapat pertimbangan sewajarnya memandangkan geran terdahulu yang diberikan kepada Think City Sdn. Bhd. (TCSB) telah dibelanjakan sewajarnya bagi pemulihan tapak warisan sedia ada di Pulau Pinang termasuk Guar Kepah yang mampu dikomersialkan lagi,’’ jelasnya.
Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa beliau menyambut baik penubuhan Universiti Teknologi Toyohashi memandangkan kerjasama antara dua negara sudah terjalin sejak sekian lama di sini.
“Hubungan erat Jepun – Pulau Pinang jelas menampakkan kesan positif di sebalik pelaburan dalam sektor industri dan kewujudan sekolah-sekolah Jepun di sini.