Tapak Fort Cornwallis, diharap bongkar lebih banyak penemuan bersejarah

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS

GEORGE TOWN – Susulan penemuan dua meriam pada 19 Februari lalu, empat ahli arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menemui sembilan butir peluru meriam di tapak arkeologi Fort Cornwallis di sini.

Salah seorang daripada ahli arkeologi berkaitan, Noridayu Bakry menyatakan bahawa peluru yang dijumpai dipercayai bukan milik dua pucuk meriam yang ditemui pada 19 Februari lalu.

“Sembilan butir peluru yang dijumpai ini, kita jumpa secara berperingkat-peringkat dari tarikh 26 hingga 28 Februari lalu, dan saiznya (diameter) kira-kira 3 sentimeter (sm) hingga 6 sm sahaja.

“Peluru-peluru tersebut akan dibawa pulang ke makmal USM untuk kajian lebih lanjut serta mendapatkan maklumat yang lebih terperinci,” katanya di tapak berkaitan pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, wakil-wakil dari George Town World Heritage Incorporated (GTWHI); George Town Conservation & Development Corporation Sdn. Bhd.; Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan agensi global, Aga Khan Trust For Culture.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyifatkan penemuan pelurupeluru meriam terbabit merupakan sesuatu yang menarik dan bernilai.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan (arkeologi USM) dan saya harap anda semua mampu membongkar lebih banyak penemuan bersejarah di sini,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Arkeologi Negeri Pulau Pinang, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin pada sidang media 20 Februari lalu menyifatkan bahawa menemuan dua pucuk meriam mungkin akan mengubah interpretasi sejarah terdahulu Fort Cornwallis sebagai ‘Kota Keamanan’ yakni tidak melibatkan peperangan.

Mokhtar yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM memberitahu, salah satu meriam lama tertera simbol ‘GR’ iaitu merujuk pada era King George III, yang memerintah antara tahun 1760 hingga 1820 Masihi.

“Kerja-kerja yang bermula sejak Ogos 2017 bertujuan mengesan lokasi pintu asal Fort Cornwallis yang sehingga kini masih belum ditemui.

“Hasil daripada kerja-kerja tersebut sehingga hari ini menemukan peluru meriam sebanyak dua kali (pertama pada November 2017) dan dua pucuk meriam,” jelas beliau.