Tapak Warisan Dunia diwarta zon larangan merokok

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Zon Tapak Warisan Dunia di sini diwartakan sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa 1 Januari lalu di bawah program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa PENBAR, Phee Boon Poh yang juga Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar berkata, walaupun PENBAR telah mula dikuatkuasa, namun, ianya akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah memulakan inisiatif ini sejak tahun 2009 di mana dalam tempoh hampir lima tahun pelbagai pendekatan digunakan hingga ke hari ini ia dikuatkuasakan.

“Sebelum dikuatkuasakan, pelbagai program kesedaran dan pendidikan telah dijalankan demi menyedarkan orang ramai.

“Malah, kita juga turut merayu agar para perokok melakukan perubahan dengan kehendak mereka sendiri tanpa ada sebarang paksaan,” katanya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim.

Pada majlis sama, turut dilancarkan logo program PENBAR.

Tambah Boon Poh, pihaknya tidak menidakkan atau menafikan kehendak manamana individu untuk merokok, tetapi, mereka perlu menghormati orang sekeliling yang ingin mendapatkan suasana persekitaran sihat dan bebas asap rokok.

“Kita merayu kepada mereka yang ingin merokok supaya ke tempat lebih bersesuaian tanpa menggangu orang lain.

“Hormatilah insan lain,” tegasnya.

Boon Poh memberitahu, ekoran pelaksanaan program berkenaan, hampir 50 senarai nama penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan persetujuan dan diberi kuasa bagi pelaksanaan PENBAR di kawasan telah digazetkan.

Sebelumnya, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah mewartakan enam kawasan di negeri ini sebagai zon larangan merokok iaitu Taman Perbandaran di Jalan Utama, Taman Botani, kawasan Empangan Air Itam, kawasan Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan kawasan Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam.

Turut diwartakan adalah 207 buah masjid di seluruh negeri ini.