Tarif elektrik patut diturunkan 35% – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Penurunan tarif elekrtik di Semenanjung Malaysia sehingga 4.3 peratus mulai 1 Mac hingga 30 Jun depan kemungkinan mengambil kira persiapan Kerajaan Pusat demi mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sepatutnya tarif elektrik diturunkan sehingga 35 peratus, selari dengan angka kenaikan peratusan untung diraih Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada penggal keempat tahun lepas.

“Kalau keuntungannya boleh naik sehingga 35 peratus, mengapa tidak dikongsi bersama rakyat…seharusnya penurunan sebanyak 35 peratus.

“Mengapa turun hanya empat bulan, adakah ini hanya persiapan untuk memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh…mengapa tak turun betul-betul,” tanya Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) turut menyertai sidang media tersebut.

Terdahulu, Kerajaan Pusat mengumum tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen/kWj untuk pengguna Semenanjung Malaysia, berkuatkuasa mulai 1 Mac hingga 20 Jun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili turut mengumumkan purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj, berkuatkuasa bagi tempoh sama, iaitu menyamai penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa.

Penurunan tarif elektrik itu, katanya, mengambil kira penurunan kos bahan api global.

Difahamkan, peratusan penurunan tarif elektrik dalam tempoh tiga bulan itu dilakukan secara berperingkat, iaitu pada angka 4.3 peratus, diikuti 4.1 peratus dan 3.9 peratus.

} else {