KES baru jangkitan COVID-19 yang kini telah mencecah lima angka sehari pastinya memberi kesan yang amat teruk kepada rakyat terutamanya peniaga dan penjaja kecil.
Wartawan Buletin Mutiara WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD dalam siri tinjauan sehari ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi, cuba mendekati beberapa peniaga kecil yang terkesan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini.
Ali Bagus Enterprise atau juga dikenali sebagai Kedai Kassim yang telah bertapak di pekan Nibong Tebal sejak 59 tahun lalu turut tidak terkecuali daripada mengalami kemerosotan perniagaan.
“Di sini kami jalankan perniagaan seperti mi goreng, mi rebus, mi Jawa, bihun goreng bersama cucur dan pasembur yang menjadi kegemaran penduduk setempat.
“Majoriti orang lama di sini memang sukakan masakan asal dan apa yang menarik di sini sudah tentunya mi rebus kerana kami menggunakan kuah udang laut.
“Namun begitu, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perniagaan kami telah merosot sehingga 30 peratus akibat polisi yang tidak membenarkan pelanggan makan di kedai selain ramai rang tidak bekerja dalam tempih ini,” ujar MOHD. ALI MOHD. JABAR, 48 selaku pemilik perniagaan tersebut.
Ditanya mengenai penggunaan aplikasi digital, Mohd. Ali menolak perkara tersebut sambil menyifatkan masakan di kedainya lebih kepada orang tempatan semata-mata.
“Walaupun berdepan tempoh sukar dan mengalami kemerosotan hasil jualan seharian, namun saya masih menaruh kepercayaan kepada pelanggan tetap yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat tempatan.
“Kalau cakap mengenai penambahan cawangan pula, saya fikir masanya belum tiba kerana untuk menguruskannya bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Apa yang mampu dilakukan sekarang adalah berdoa agar COVID-19 ini cepat berlalu dan kita semua boleh kembali hidup seperti biasa dan dapat mencari sumber pendapatan,” jelas Mohd. Ali yang telah mewarisi perniagaan keluarga.
Difahamkan, perniagaan Mohd. Ali masih mengekalkan harga yang agak murah iaitu serendah RM2.50 bagi sajian utama walaupun harga barangan mentah mengalami kenaikan mutakhir ini.
Dalam pada itu, perniagaan biskut dan pau Chop Chuan Guan pula mengambil pendekatan pengggunaan aplikasi digital untuk menangani kemerosotan pelanggan.
Pemiliknya, KHOR WOOI KIAT, 45, ketika ditemui memberitahu bahawa perniagaan yang telah wujud sejak lebih 100 tahun itu terpaksa menggunakan perkhidmatan perniagaan digital iaitu Shopee dan Lazada sebagai medium jualan baharu.
“Sebelum PKP, anggaran jualan kira-kira 1,000 kotak biskut sehari, sekarang merosot kepada tinggal 500 kotak sahaja.
“Kebanyakan biskut yang dijual adalah tempahan untuk pelbagai majlis tetapi dalam tempoh PKP ini memang majlis tidak dibenarkan jadi ia memberika kesan yang amat ketara.
“Jualan dalam talian memang sudah mula sebelum PKP, tetapi dalam tempoh itu lebih ramai pesan melalui online sahaja sebab nak datang kedai mungkin ada yang dari daerah lain,” ujar Wooi Kiat yang menjalankan perniagaan di Jalan Pengkalan Rawa sebagai generasi kelima.
Namun begitu katanya, permintaan terhadap produk perniagaannya iaitu ‘tau sar pneah’ atau kacang hijau dan biskut masih lagi tinggi khususnya oleh pembeli dari luar Pulau Pinang.
“Oleh itu, saya merancang untuk menambah beberapa lagi produk baharu pada masa hadapan,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga di Gerai Nibong Tebal dekat Lorong Serindit Jawa yang mengusahakan jualan mi, ANG GAIK GAIK, 51, mendakwa bahawa perniagaan beliau susut kira-kira 30 peratus sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19.
“Sekarang orang ramai tidak boleh makan di kedai, jadi perniagaan agak merosot sedikit dalam anggaran 30, tetapi nasib baiklah saya sudah mula menggunakan aplikasi digital untuk penghantaran.
“Jadi sedikit sebanyak masih boleh boleh raih untung, sudah 26 tahun berniaga dua tahun ini paling teruk sekali,” ujarnya yang turut menyediakan mi Hokkien, Hokkian Ta dan laksa.
Gaik Gaik menjalankan perniagaannya sebagai sarapan pagi hingga bekalan bahan mentahnya habis.
Penigaga minuman, LIM ENG KOK, 61, dalam pada itu mendakwa perniagaannya merudum sehingga 80 peratus.
“Pandemik yang melanda kali ini telah memberi kesan yang amat teruk kepada kami penjaja kecil, pelanggan semua ‘hilang’.
“Saya harap COVID-19 ini habis dengan cepat, kita mahu berniaga macam biasa balik, tidak boleh tahan dengan keadaan sekarang,” maklum Eng Kok yang menjalankan perniagaan di situ selama 30 tahun.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye yang turut serta menyatakan bahawa para penjaja kecil kini perlu beradaptasi dengan jualan dalam talian dan aplikasi digital.
“Saya galakkan mereka menggunakan segala medium penghantaran secara dalam talian yang ada kini, kerana pendekatan berkaitan dilihat mampu menaikkan sedikit jualan produk masing-masing.
“Ini termasuk penjaja pasar malam yang mana tidak boleh berniaga sejak bulan Mei hingga kini,’’ ulasnya yang turut menyatakan bahawa pihaknya akan sedaya upaya menyalurkan bantuan sesegera mungkin kepada golongan perlu.