Tawaran pengecualian denda tunggakan cukai tanah, petak elak tindakan lucut hak

img 20250204 wa0010

GEORGE TOWN – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang mengingatkan pemilik hartanah supaya memanfaatkan tawaran pengecualian penuh bayaran denda tunggakan cukai tanah dan cukai petak bagi pembayaran kedua-dua cukai berkenaan sebelum 28 Februari 2025.

Inisiatif tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Disember tahun lalu yang bertujuan untuk menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai tanah dan cukai petak di samping mengurangkan jumlah tunggakan cukai.

Pengarah PTG Pulau Pinang, Dr. Faizal Kamarudin menjelaskan bahawa insentif itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantu memudahkan kutipan cukai serta meringankan beban kewangan pemilik hartanah.

“Sehingga 31 Disember 2024, jumlah tunggakan cukai tanah dan cukai petak di Pulau Pinang adalah berjumlah RM31.65 juta, manakala tunggakan denda pula sebanyak RM39.26 juta.

“Sekiranya semua pemilik tanah dan petak membayar cukai sebelum 28 Februari, mereka akan menikmati potongan tunggakan denda sebanyak 100 peratus,” katanya.

Selepas Februari 2025, diskaun sebanyak 50 peratus tunggakan denda akan ditawarkan kepada semua pembayar cukai yang menjelaskan bayaran tunggakan masing-masing di antara 1 Mac sehingga 31 Mei 2025.

Pengecualian dan diskaun yang ditawarkan hanya kepada pembayar cukai yang membuat bayaran penuh.

Tindakan tegas jika gagal bayar cukai

Dr. Faizal turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang gagal membayar tunggakan cukai tanah dan cukai petak masing-masing.

“Di bawah Seksyen 97 hingga 130 Kanun Tanah Negara, Pentadbir Tanah mempunyai kuasa untuk melucut hak tanah atau petak yang mempunyai tunggakan bayaran cukai, dan akan kembali menjadi hak milik Kerajaan Negeri.

“Pada 2024 sahaja, sebanyak 191 hartanah telah dilucuthakkan kerana tunggakan cukai tanah yang tidak dibayar, dianggarkan berjumlah RM67.47 juta.

“Dalam situasi ini, pemilik bukan sahaja kehilangan hartanah mereka tetapi juga mungkin berhadapan tindakan undang-undang daripada institusi kewangan jika harta tersebut dicagarkan,” tegasnya.

img 20250204 wa0009
Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut yang terletak di Aras 3, Komtar.

Tiada alasan untuk tidak bayar cukai

Ketika ditanya tentang sebab-sebab kegagalan pemilik hartanah membayar cukai, Dr. Faizal menyatakan bahawa kebanyakan pemilik tanah dan petak mendakwa bahawa mereka tidak menerima bil cukai masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa alasan tersebut tidak boleh diterima kerana cukai tanah dan petak adalah kewajiban undang-undang yang mesti diselesaikan pada tarikh yang ditetapkan setiap tahun.

“Di beberapa negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu, bil cukai tidak lagi dikeluarkan secara fizikal.

“Di bawah undang-undang, pemilik tanah dan petak mesti membayar cukai mereka antara 1 Januari dan 31 Mei setiap tahun.

“Sebarang pembayaran yang dibuat selepas 31 Mei akan dianggap tunggakan dan dikenakan denda.

“Sekiranya tunggakan ini berlanjutan sehingga ke tahun seterusnya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh Pentadbir Tanah termasuk perlucuthakkan tanah tersebut,” jelasnya.

Justeru, PTG Pulau Pinang menggesa semua pemilik hartanah untuk mengambil kesempatan daripada pengecualian bayaran tunggakan denda sebanyak 100 peratus sebelum tarikh akhir bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD