GEORGE TOWN – Geran sebanyak RM150,000 diperuntukan Kerajaan Negeri kepada Tech Dome Penang (TDP) bagi membolehkan pihak berkaitan menjalankan program Saintis Muda untuk pelajar-pelajar sekolah rendah tahun ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, program tersebut bakal memanfaatkan kira-kira 5,000 pelajar sekolah rendah di negeri ini.
“Untuk program jangkauan Saintis Muda tahun ini, para pelajar akan didedahkan dengan teknik prinsip lukisan 3D dan blok bangunan berasaskan Revolusi Industri 4.0.
“Sehingga kini, sebanyak 23 program telah dijalankan membabitkan lima daerah di Pulau Pinang, dan ia telah memberikan pengalaman berharga kepada lebih 2,000 pelajar sekolah rendah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Kira-kira 100 pelajar daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota menimba pengalaman selama dua hari bagi mempraktikkan teknik lukisan 3D dan blok bangunan yang dijalankan di TDP dekat Komtar.
Difahamkan, program Saintis Muda berkaitan telah dimulakan sejak 22 Jun lalu yang mana sesi pertama membabitkan KADUN Seri Delima.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TDP, Dr. Khong Yoon Long.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALVIE CHENG