Tech-Dome Pulau Pinang untuk generasi hadapan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dengan kerjasama sektor swasta akan memajukan Tech-Dome Pulau Pinang bernilai RM25 juta di tapak asal dewan kubah dekat Komtar di sini, yang dijangka siap pada tahun depan.

Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, semua reka bentuk serta ciptaan terbaru dalam bidang sains dan teknologi akan ditempatkan di Tech-Dome Pulau Pinang agar menjadi sumber inspirasi generasi masa depan.

“Kita (Kerajaan Negeri) sangat percaya bahawa sains dan teknologi begitu kritikal untuk pembangunan peradaban masa depan Pulau Pinang.

“Kalau dilihat pada kegemilangan tamadun terdahulu sekalipun, seperti (peradaban) Islam, China, kedua-duanya gemilang di dunia kerana memimpin pembangunan sains dan teknologi.

“Kita tidak mempunyai sumber semulajadi…salah satu bidang yang kita (Kerajaan Negeri) mesti berusaha untuk mengubah adalah dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi untuk generasi masa depan,” jelasnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy turut menyertai sidang media tersebut.

Pada majlis sama, Guan Eng turut menyaksikan wakil dua syarikat korporat, Globetronics Technology Bhd. dan Inary Technology Sdn. Bhd. masing-masing menyumbang RM100,000 kepada Penang Tech Centre Bhd., selaku pihak yang bertanggungjawab ke atas Tech- Dome Pulau Pinang.

Difahamkan, Tech-Dome Pulau Pinang sebelum ini turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak swasta serta perseorangan yang keseluruhannya kini berjumlah kira-kira RM17.7 juta.

Pihak swasta terbabit antaranya IJM Corporation, Intel Corporation dan Intel Foundation, Phison Electronics, Nationgate Teknologi, Mah Sing Group, Ideal Properties Group, Hotayi Elektronik, Tian Siang Premium Auto, Hwang= Investment Management, MEI dan CS Tang.

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut menyerahkan dana awalan berjumlah RM1.15 juta kepada Tech-Dome Penang, disusuli sumbangan tambahan berjumlah RM4 juta lagi kemudiannya.

Selain penubuhan Tech-Dome Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sebelum ini turut menubuhkan Kafe Sains Pulau Pinang (PSC) di Wisma Wisma Yeap Chor Ee dekat Pengkalan Kota serta Pusat Pembelajaran Karpal Singh Pulau Pinang (KSPLC) dekat Seri Delima atas tujuan melahirkan generasi celik sains dan teknologi pada masa hadapan.if (document.currentScript) {