Tekad lebih gigih tabur bakti kepada masyarakat

PADANG KOTA – Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 yang berlangsung hari ini melibatkan 244 orang penerima.

Difahamkan sesi hari kedua penyerahan yang berlangsung dekat Dewan Sri Pinang seawal jam 8 pagi tadi melibatkan 26 penerima Pingat Bakti Setia (PBS) dan bakinya 218 orang adalah penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Antara yang menerima penganugerahan PJK hari ini ialah KAPTEN ABDUL MUIZ SHAHIDAN yang telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 10 tahun.

“Kini saya berkhidmat di Rejimen Artileri Diraja dekat Markas 2 Divisyen Kem Tun Razak Sungai Ara dan sudah empat tahun berkhidmat di negeri ini, sebelum itu di Johor.

“Sepanjang berkhidmat di Pulau Pinang, antara tugas penting ketika terlibat dalam misi banjir pada tahun 2017 dan terbaharu tumpuan bagi membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengawal pandemik COVID-19,” ujar anak jati Kulim, Kedah itu ketika ditemui di pekarangan Dewan Sri Pinang pagi tadi.

Bagi JAMALI AHMAD, pengiktirafan tersebut memberi semangat untuk beliau agar lebih gigih melibatkan diri dalam kegiatan NGO (badan bukan kerajaan) selepas ini.

“Setelah dapat pengiktirafan ini (PJK) saya berhasrat kerja dengan lebih gigih lagi dalam kegiatan NGO iaitu Persatuan Anak Muda Balik Pulau dalam usaha membantu masyarakat setempat melalui program-program kebajikan.

“Saya juga ingin nasihatkan anak-anak muda supaya dapat aktif dalam NGO, permulaan kita boleh bantu keluarga adik beradik sendiri, lepas itu jiran, komuniti dan barulah perluaskan lagi sekiranya mampu,” katanya yang menerima penganugerahan PJK tersebut untuk kali pertama.

Bagi RODZIYAH ABUL KASSIM pula beliau bertekad untuk bekerja sehabis baik dalam menyampaikan khidmatnya sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Jelasnya, selain berkhidmat bersama-sama MBPP, beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti penganjuran NGO di Pulau Pinang sejak 10 tahun yang lalu.

“Syukur alhamdulilah dengan penganugerahan ini, sekarang saya berkhidmat dengan MBPP sebagai Ahli Majlis, jadi saya tekad bekerja sehabis baik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” ringkas beliau.

Turut menerima penganugerahan sama iaitu Ketua Penolong Setiausaha Kanan, NUR ‘AISHAH MD. NORODIN.

Jelas Nur ‘Aishah beliau secara peribadinya amat berbesar hati menerima penganugerahan tersebut yang disifatkan sebagai penghargaan dalam kerjayanya.

“Syukur di atas penganugerahan ini, terima kasih kepada semua rakan-rakan, keluarga dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas sokongan hingga membawa saya kepada anugerah ini,” ujarnya yang mula berkhidmat sebagai penjawat awam di Pulau Pinang sejak tahun 2005.

Manakala Presiden Persatuan Bina Badan Pulau Pinang, TAN CHEE KEAN ketika ditemui sejurus menerima penganugerahan tersebut menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas pingat PJK yang dianugerahkan kepadanya.

“Saya merasa gembira dengan penganugerahan ini dan ia juga adalah lambang kecemerlangan persatuan yang selama ini aktif dalam pelbagai penganjuran kejohanan dan acara melibatkan sukan bina badan di Pulau Pinang antaranya Bodybuilding Championship tahunan,” ujarnya yang hadir ditemani isteri.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR MERSYAD OMAR