KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bertekad untuk menoktahkan permasalahan kemiskinan di negeri ini seiring dengan hasrat Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, meskipun pembangunan infrastruktur seperti pembangunan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini, namun antara perkara lain yang juga menjadi komitmen adalah menoktahkan permasalahan kemiskinan di negeri ini.
“Saya melihat selain pembayaran tunai melalui (skim-skim) kebajikan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan (juga penting) supaya rakyat dapat diperkasakan dari segi pendapatan serta taraf hidup yang seterusnya menyumbang terhadap pembangunan negara termasuk di Pulau Pinang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan perasmian Karnival Kita Madani 2023 anjuran Pusat Khidmat ADUN Kebun Bunga dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Pulau Pinang di Balai Rakyat MBPP Padang Tembak dekat sini sebentar tadi.
Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee dan Pengarah JaPen Pulau Pinang, Sabri Said.
Hadir sama, Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim; Pegawai Penerangan Daerah Timur Laut, Lim Miow Juang, wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kebun Bunga, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kebun Bunga dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Kebun Bunga.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi menyokong penganjuran Karnival Kita Madani 2023 sebagai usaha menyampaikan informasi berkaitan inisiatif kerajaan dan berinteraksi secara terus dengan rakyat.
“Sememangnya konsep Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menjadi agenda penting kerajaan ketika ini.
“(Dan) dalam tempoh enam bulan pentadbiran di bawah Kerajaan Perpaduan, banyak dasar baharu diperkenalkan, antara komitmen penting adalah menoktahkan permasalahan kemiskinan di negara Malaysia ini.
“Antaranya dengan membantu golongan memerlukan dan B40 untuk sama-sama menikmati hasil pembangunan secara saksama, maka melalui ikhtiar ini diharapkan bukan sahaja Malaysia malah Pulau Pinang ‘dibebaskan’ dari permasalahan kemiskinan ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur Karnival Kita Madani 2023 kerana berjaya menganjurkan program bersepadu yang melibatkan jabatan dan agensi peringkat Persekutuan dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan dan pihak swasta.
Usai menyempurnakan perasmian, Kon Yeow meluangkan masa melawat ke setiap reruai dan ruang pameran yang mengambil bahagian serta berinteraksi dengan pengunjung dari pelbagai latar belakang bangsa serta usia.
Difahamkan, seramai 20 pempamer mengambil bahagian dalam penganjuran yang julung kali diadakan di sini. Selain pameran informasi dan interaktif turut disajikan adalah saringan kesihatan percuma, pemeriksaan gigi percuma, kaunter bayaran saman, pertandingan mewarna dan permainan tradisional serta cabutan bertuah.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS Video : LAW SUUN TING