PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri bakal mengetepikan sebanyak 10 peratus daripada 180,000 unit rumah mampu milik yang akan dibekalkan kepada rakyat Pulau Pinang secara sewa beli menjelang tahun 2030.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, memandangkan permintaan rakyat terhadap unit rumah mampu milik yang dibeli secara sewa beli semakin mendapat sambutan, maka Kerajaan Negeri bertekad mengetepikan sebanyak 10 peratus daripada 180,000 unit atau 18,000 unit rumah mampu milik pelbagai kategori untuk ditawarkan kepada yang layak.
![](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2019/10/IMG_20191019_102230-300x225.jpg)
“Sejak tahun 2008 sehingga kini, sebanyak 29,959 unit rumah mampu milik pelbagai kategori telah dibina; 23,985 unit sedang dibina dan 48,391 telah diberi kelulusan untuk dibina menjadikan 102,335 unit ditawarkan dan bakal ditawarkan kepada rakyat di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, 1,062 unit telah diketepikan membabitkan lima projek perumahan iaitu empat di Seberang Perai dan satu di bahagian pulau untuk ditawarkan secara sewa beli.
“(Dan) selaras pengumuman baru-baru ini, Kerajaan Negeri bertekad mengetepikan 10 peratus daripada sasaran 180,000 unit rumah yang bakal dibina menjelang tahun 2030 ditawarkan secara sewa beli selaras dengan Visi Penang2030,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Secara Sewa Beli Projek Perumahan Awam Kos Rendah di Taman Seri Desa, Tasek Gelugor 19 Oktober lalu.
Turut berucap, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Jurutera Daerah Seberang Perai Utara, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Shahfizan Md. Nor serta wakil-wakil daripada agensi kerajaan berkaitan antara yang turut hadir.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan had RM500,000 (nilai hartanah) memandangkan ia terlalu tinggi.
“Had tersebut perlu dikurangkan dengan memberi keutamaan kepada rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.
“(Dan) dana ini sepatutnya digunakan bagi membolehkan golongan yang tidak mampu mendapatkan pinjaman memiliki rumah,” ulasnya mengenai peruntukan dana tersebut.
Di Pulau Pinang, menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri telah meletakkan had harga bagi rumah mampu milik.
Bagi rumah mampu milik kategori A (kos rendah) had maksimum adalah RM42,000; kategori B (kos sederhana rendah) pada harga RM72,500; kategori C1 (RM150,000); kategori C2 (RM200,000) dan kategori C3 (RM300,000).
![](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2019/10/IMG_20191019_103906-300x225.jpg)
“Sekiranya melebihi (had harga) RM300,000 maka sudah tidak mampu milik lagi,” katanya.
Terdahulu, Jagdeep menyempurnakan penyerahan surat tawaran skim perumahan secara sewa beli kepada 21 pembeli di Taman Seri Desa dekat sini.
Projek yang sebelum ini terbengkalai dek masalah jajaran projek landasan kereta api berkembar yang dalam pembinaan, bakal disempurnakan pada penghujung November ini yang mana Kerajaan Negeri membiayai RM2.1 juta bagi kerja-kerja pembaikan umum.
Difahamkan, daripada 249 unit yang berkeluasan penuh 1,291 kaki persegi (termasuk ruang parkir dan ruang belakang), 64 unit ditawarkan secara sewa beli.
Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI