Teknologi 5G cetus perubahan untuk Pulau Pinang – Zairil

Admin

SEJAJAR dengan perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat pada masa kini, pembangunan infrastruktur komunikasi dilihat turut bercambah dengan pesatnya bagi menampung permintaan dan kehendak rakyat terhadap perkhidmatan komunikasi dan jalur lebar.

 

Susulan itu, pada peringkat negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif mewujudkan Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang bersama-sama syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan yang bertujuan untuk menerajui pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini sejajar dengan Visi Penang2030 ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Pelan ini bertindak sebagai pelan induk yang komprehensif dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan semua perkara berhubung telekomunikasi di negeri ini dengan berpandukan dasar peringkat persekutuan, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

 

Pada September lalu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Wilayah Utara yang mempunyai rangkaian spektrum 5G sekali gus memberi nilai tambah dan nilai komersial bermutu tinggi dalam memacu peningkatan ekonomi digital di negeri ini.

 

Malah, pembangunan infrastruktur komunikasi 5G ini juga menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi terutama dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan seantero dunia.

 

Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN berkesempatan menemu bual Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, ZAIRIL KHIR JOHARI bagi mengetahui dengan lebih lanjut berhubung pelaksanaan perkhidmatan 5G semasa di Pulau Mutiara ini.

 

Menurut Zairil, sebanyak lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah menandatangani Perjanjian Akses bersama-sama pihak Digital Nasional Berhad (DNB) pada 30 Oktober 2022.

 

“Sebelum ini, hanya syarikat YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) yang bertindak sebagai pengendali telekomunikasi perkhidmatan 5G di Pulau Pinang.

 

Namun, baru-baru ini sebanyak empat syarikat lain telah bersetuju untuk bekerjasama iaitu syarikat U Mobile Sdn. Bhd.; syarikat Celcom Networks Sdn. Bhd.; Digi Telecommunications Sdn, Bhd. dan Telekom Malaysia (TM).

 

“Sebanyak 151 tapak telah dikenal pasti bagi memancarkan spektrum 5G di kawasan pulau di bawah Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang Fasa 1 untuk tahun ini.

 

“Manakala bagi kawasan Seberang Perai pula, sebanyak 235 tapak dikenal pasti bagi pelaksanaan Fasa 2 mulai tahun hadapan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Komtar baru-baru ini.

 

Jelas Zairil, lokasi-lokasi yang dikenal pasti ini adalah meliputi kawasan perindustrian, kawasan berkepadatan tinggi dan tempat tumpuan umum seperti di George Town; Daerah Kreatif Digital; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pusat Konvensyen Setia SPICE di Bayan Lepas.

 

“Setakat ini, sebanyak 82 lokasi telah siap struktur telekomunikasi dan akan siapkan di semua 151 lokasi sebelum hujung tahun 2022.

 

“Kawasan yang kini telah mempunyai liputan 5G adalah di George Town; Pulau Tikus; Sungai Pinang; Batu Lancang; Bukit Gelugor; Sungai Tiram; Batu Maung dan Bayan Baru,” katanya.

ZAIRIL Khir Johari.

Rakyat Sambut Baik

 

Apabila ditanya mengenai sambutan rakyat Pulau Pinang terhadap perkhidmatan 5G ini, Zairil memberitahu bahawa sambutan adalah baik terutama di kawasan yang telah mempunyai liputan.

 

“Pengguna dapat menikmati kelajuan pada kapasiti sekurang-kurangnya 100Mbps yang mana kelajuan ini lebih kurang sama dengan kapasiti kelajuan jalur lebar di rumah.

 

“Kelajuan ini membolehkan kita menonton video di peranti mudah alih tanpa sekat-sekat,” katanya yang mahu mempercepatkan pelaksanaan perkhidmatan 5G di seluruh negeri ini.

 

Cabaran dan Kekangan

 

Pastinya setiap perkara mempunyai cabaran dan kekangannya yang tersendiri. Bagi Zairil, sepanjang melaksanakan perkhidmatan 5G ini cabaran terbesar adalah kesukaran untuk mendapatkan kelulusan daripada tuan punya tanah atau bangunan yang ingin dibangunkan struktur telekomunikasi 5G.

 

“Ditambah pula dengan kelewatan untuk mendapatkan ulasan daripada jabatan serta agensi teknikal luar yang terlibat dan lain-lain hal berkaitan pentadbiran, birokrasi.

 

“Terdapat juga beberapa kekangan misalnya untuk mendapatkan lokasi tapak yang sesuai bagi membina struktur telekomunikasi 5G, bantahan daripada penduduk dan isu reka bentuk lampu jalan pintar yang akan dilaksanakan kelak,” jelasnya.

 

Mengulas mengenai pembinaan struktur telekomunikasi 5G, Zairil memaklumkan bahawa segalanya mengikut garis panduan sedia ada yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Garis panduan ini ditetapkan oleh SKMM bersama-sama pihak DNB agar pembinaan struktur telekomunikasi lebih terancang dan lebih selamat.

 

“Aspek keselamatan ini bukan sahaja dari segi kestabilan struktur tetapi juga mengambil kira aspek kesihatan dan bebas radiasi kerana mengikut amalan keselamatan antarabangsa serta piawaian yang diguna pakai seluruh dunia.

 

“Sememangnya tidak dinafikan, ada dalam kalangan rakyat yang bimbang mengenai radiasi namun mereka harus mendapatkan maklumat yang tepat melalui saluran yang betul dan bukannya melalui media sosial sehingga timbulnya salah tanggapan,” tegasnya.

 

Harapan

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa meletakkan harapan untuk muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang menjadi ‘Bandar Gigabit’ dengan menawarkan rangkaian internet berkelajuan tinggi dan liputan yang lebih kukuh serta meluas kepada seluruh rakyat di negeri ini.

 

(Dan) bagi mencapai harapan tersebut, Kerajaan Negeri menyasarkan ketersediaan 100 peratus kelajuan gigabit untuk dinikmati oleh rakyat Pulau Pinang.

 

“Hal ini termasuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang menyeluruh bukan sahaja di kawasan perindustrian tetapi juga kawasan yang berpopulasi.

 

“Lagipun, (perkhidmatan) 5G ini bakal menjadi pencetus perubahan untuk pelbagai kegiatan berteknologi terutamanya sektor perindustrian dan sektor e-dagang yang menggunakan perkhidmatan secara dalam talian.

 

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berharap agar proses automasi dan penggunaan gajet pintar yang disokong oleh teknologi 5G ini dapat memberi impak yang positif baik terhadap sektor perindustrian mahupun pengguna (awam) di negeri ini,” katanya.