GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa mana-mana syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai permintaan untuk cadangan (RFP) secara terbuka bagi membolehkan perkhidmatan teksi air atau ‘water taxi’ direalisasikan di negeri ini.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai RFP ini dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkaitan.
“Antaranya syarikat hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Malaysia (ROS).
Syarikat terbabit juga perlu mempunyai modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM500,000 dan berdaftar dengan Sistem Perolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui laman web (https://ep.penang.gov.my) untuk membeli dokumen RFP ini.
“Selain itu, syarikat juga diwajibkan menghadiri sesi penjelasan atau taklimat RFP sebelum dibolehkan membeli dokumen tersebut dan mana-mana syarikat yang tidak menghadiri sesi tersebut adalah tidak dibenarkan mengambil bahagian.
“Dokumen RFP ini hanya dijual secara dalam talian melalui laman web e-perolehan tersebut serta perlu dimuat turun melalui akaun perolehan masing-masing sebagai pengesahan pembelian.
“(Dan) dokumen RFP ini boleh didapati secara dalam talian mulai 12 Disember 2022 yang mana sesi penjelasan atau taklimat dijadualkan pada 19 Disember 2022, manakala tarikh tutup adalah pada 27 Februari 2023,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 9 Disember 2022.
Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. Cheah Chin Kooi; Ahli-Ahli Majlis MBPP; serta wakil-wakil daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP); Jabatan Laut Malaysia dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN).
Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa antara komponen penting yang perlu disediakan oleh syarikat yang ingin menyertai RFP tersebut adalah menyediakan Laporan Awal Kebolehupayaan Kajian atau Preliminary Feasibility Study Report.
“Syarikat berkaitan juga perlu mengemukakan cadangan lokasi jeti untuk perkhidmatan teksi air; jenis dan spesifikasi bot atau feri yang akan digunakan; model kewangan (financial model) dan tempoh untuk melaksanakan projek ini.
“Tujuan utama perancangan ini adalah untuk menyediakan satu mod pengangkutan awam baharu yang boleh digunakan oleh orang awam yang mana secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pulau.
“Perkhidmatan teksi air ini bakal menjadi akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh seperti perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian dan sebagainya.
“Malah, perkhidmatan teksi air ini juga bertujuan untuk menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri Pulau Pinang dan memenuhi cadangan yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” jelasnya.
Dalam pada itu, Tung Seang turut menyeru syarikat-syarikat berkelayakan yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dari segi teknikal dan kewangan untuk mengambil peluang menyertai RFP ini.
“Usaha yang dilakukan selama beberapa tahun lepas termasuk kajian awal, perbincangan, perancangan rapi dan perjumpaan dengan pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mewujudkan satu mod pengangkutan awam baharu kini dirancakkan lagi dengan panggilan RFP ini.
Pihak MOT telah memberikan kelulusan bersyarat kepada MBPP pada 18 Oktober lalu selepas pembentangan cadangan penyediaan perkhidmatan teksi air dibuat pada bulan September 2022.
“(Dan) sekiranya proses RFP ini berjalan lancar, kita (Kerajaan Negeri dan MBPP) menjangkakan kerja-kerja awalan dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas surat penawaran diberikan kepada syarikat yang berjaya serta menjangkakan perkhidmatan teksi air dapat beroperasi pada tahun 2024 nanti mengikut keadaan semasa,” jelasnya.
Menurut Tung Seang lagi, pihaknya telah mengenal pasti empat lokasi bagi pembinaan jeti untuk perkhidmatan teksi air iaitu di Strait Quay, Jalan Sri Tanjung Pinang; Swettenham Pier, Pengkalan Weld; Pulau Jerejak, Persiaran Bayan Indah dan berhampiran Batu Maung Transfer Station.
“Walau bagaimanapun, sekiranya pihak syarikat yang berjaya mempunyai cadangan lokasi lain untuk jeti-jeti ini, kita juga memberi peluang dan sedia mempertimbangkan cadangan tersebut,” katanya.
Difahamkan, Pulau Pinang bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan teksi air secara komprehensif dan moden.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS