Teliti, tekun & jujur intipati kejayaan Pak Latif Jeruk

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

PAK Latif menunjukkan buah kedondong yang ditanam beliau untuk pembuatan jeruk.
PAK Latif menunjukkan buah kedondong yang ditanam beliau untuk pembuatan jeruk.

SIFAT jujur dan tekun merupakan intipati kejayaan Pak Latif atau nama sebenar, Abd. Latif Hashim, 57, yang kini bergelar usahawan jeruk berjaya.

 

Selain menyediakan perkhidmatan kursus memproses jeruk buah-buahan, beliau juga merupakan pemborong dan pembekal bahan-bahan pemprosesan jeruk utama di Cherok To’ Kun Atas, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Kepadanya, rahsia utama menghasilkan jeruk berkualiti adalah ketelitian.

 

“Sukatan perlu betul-betul tepat dan tidak boleh ralik. Ini termasuk tempoh masa nak angkat buah yang direndam,’’ nyatanya ringkas kepada skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Sebelum sesi wawancara bermula, Pak Latif menjamu kami dengan jeruk-jeruk dihasilkannya. Malah, skuad Jalan-jalan juga tertarik melihat celoteh isterinya, Hindon Hussin, 51, yang begitu asyik melayan para pelanggan yang singgah membeli.

 

JERUK-jeruk yang djual di premis Cherok To’ Kun.
JERUK-jeruk yang djual di premis Cherok To’ Kun.

Kebiasaannya, penulis tidak menggemari jeruk kerana apabila makan akan terbatuk-batuk dan rasa manisnya melekat di dalam tekak.

 

Namun, bagi melengkapkan sesi wawancara ini, penulis mengambil secebis hirisan mangga untuk dirasa.

 

Lain daripada yang lain. Ianya sedap, buah segar, makan tidak terbatuk-batuk, kemanisan tidak lekat pada tekak dan ngam-ngam – itulah ungkapan yang dapat diluahkan penulis apabila merasai jeruk Pak Latif.

 

Mengimbas kembali pengalaman 16 tahun Pak Latif dalam bidang tersebut, pelbagai masam manis dilalui beliau bersama isterinya.

 

Ekoran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1985-an, Pak Latif yang ketika itu bekerja di sebuah kilang mengambil skim perbehentian sukarela (VSS).

 

Dalam dilema mencari peluang kerja baru, seorang tauke yang sebelum ini sering ke rumah Pak Latif mengambil buah pala menawarkan jawatan sebagai pemandu lori di syarikat jeruk beliau.

 

“Selama ini, tauke tu selalu datang rumah ambil buah pala. Namun, tidak pernah saya tahu ia adalah untuk membuat jeruk.

 

“Dalam tempoh dua tahun sebagai pemandu, saya ambil buah-buahan, hantar bekalan jeruk, ambil bahan-bahan kimia bagi pemprosesan jeruk…tapi tak pernah saya tanya atau ingin ambil tahu cara nak buat jeruk sehinggalah tauke meminta saya mengambil alih disebabkan beliau telah uzur,’’ ujarnya yang kini dikurniakan dua cahaya mata.

 

“Tauke minta saya ambil alih tapi dengan satu syarat iaitu saya perlu beli semua peralatan-peralatan miliknya.

 

“Setelah bersetuju, dalam tempoh seminggu, tauke ‘memperturunkan’ 80 peratus daripada ilmu membuat jeruk beliau. Selebihnya, saya mengambil inisiatif belajar sendiri terutamanya pada aspek sukatan bahan kimia,’’ jelas Pak Latif.

 

Pada tahap permulaan, jeruk dihasilkan Pak Latif tidak tahan lama (kurang tempoh sebulan) dan pernah sekali bekalan yang dihantar kepada pelanggan dipulangkan semula.

 

Malah, pernah juga jeruk bernilai kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 yang siap diperam terpaksa dibuang ekoran tidak menjadi.

 

“Jeruk yang elok dapat simpan dalam tempoh empat bulan.

 

“Ketelitian, sukatan bahan kimia dan tempoh masa peraman adalah faktor wajib diambil kira dalam bidang ini,’’ nyata Pak Latif yang 13 kali mengambil kursus pengendalian bahan kimia berhubung pemprosesan jeruk.

 

Bermula dengan 100 kilogram, kini jumlah jeruk dihasilkan Pak Latif dalam tempoh sebulan adalah sebanyak 15 tan.

 

Selain di tempat kelahirannya (Cherok To’ Kun), cawangan jeruk paling besar miliknya kini beroperasi di Langkawi, Kedah, Melaka, Taiping, Perak dan Johor Bahru, Johor.

 

“Saya sudah turunkan cara membuat jeruk kepada anak-anak saya, namun, sehingga kini, mereka (anak-anak) belum betul-betul mahir lagi,’’ kata Pak Latif yang peramah personalitinya.

 

 

INFO :

Jeruk Pak Latif Enterprise

No. 2395, Cherok To’ Kun Atas,

Bukit Mertajam.

019 – 444 9127