Teluk Ipil ‘syurga kerang rebus’ di bulan Ramadan

KHAIRUL Safuan Kamaduddin menunjukkan pelbagai jenis makanan laut berasaskan kerang yang dijual di Gerai Anak Utara, Jalan Teluk Ipil sempena Ramadan di sini.
BULAN Ramadan sahaja, sebelah malam di sepanjang Lembah Kerian termasuk Jalan Teluk Ipil seakan-akan berubah wajah menjadi ‘syurga kerang rebus’ di sini.
 
Demikian kata KHAIRUL SAFUAN KAMARUDDIN, 31, yang mengusahakan perniagaan kerang rebus di Gerai Anak Utara, bersama-sama isteri iaitu Eja atau nama sebenar Nor Famieza Mohamad Senawi, 30.
 
KHAIRUL Safuan Kamaruddin (dua dari kanan) menganggap, isteri, ibu bapa dan adik beradik lain sebagai tulang bekalang perniagaan di Gerai Anak Utara di sini.

Mesra disapa dengan panggilan “Ke-On”, Khairul Safuan memberitahu sejak kecil lagi menu kerang rebus dimakan dengan kuah kacang adalah menu wajib umat Islam semasa berbuka puasa di sekitar kawasan ini.

 
Cuma, menurut beliau Gerai Anak Utara mula viral pada tahun 2017 apabila isterinya mula membina jenama tersendiri menerusi Facebook.
 
“Saya ingat sejak saya kecil lagi, pada setiap bulan Ramadan, tradisi makan kerang rebus dengan kuah kacang ini akan ada.
 
“Kita pernah cuba berniaga kerang rebus di luar bulan puasa (Ramadan) tapi kemeriahannya tak sama seperti malam ini,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB pada 25 April 2021.
 
Gerai Anak Utara dibuka tiap-tiap hari selepas waktu berbuka puasa, bermula 8:30 malam sehingga lewat 1:00 pagi.
 
GAMBAR salah seorang pekerja Gerai Anak Utara sedang menuangkan kuah kacang sebagai sos pencicah kerang rebus bakar.

Sesuai dengan tanggapan pelanggan yang datang ke Lembah Kerian, di Gerai Anak Utara juga ada menyajikan pelbagai jenis makanan laut bercengkerang seperti lokan, kepah, siput bayam, siput sudu, siput duri dan kerang.

 
“Kerang berbulu ada permintaan juga, cuma oleh kerana payah (sukar) nak proses, kita sajikan kerang biasa sahaja.
 
“Selalu kita rebus semua jenis kerang ini, sekali-sekala sahaja kita ‘ubah angin’ dengan menyajikan kerang bakar demi memenuhi selera pelanggan,” jelasnya lagi.
 
Menu Istimewa
 
Sepanjang Lembah Kerian sehingga ke Teluk Ipil, Ban Pecah, Bagan Tiang sampai ke Kuala Kurai dekat Nibong Tebal ini akan menjadi hiruk-pikuk dengan penggemar menu istimewa ini.
 
Khairul Safuan memberitahu bahawa berdasarkan maklum balas pelanggan tradisi Gerai Anak Utara, kepelbagaian jenis kerang dari Lembah Kerian rasanya lebih manis dan segar berbanding tempat-tempat lain.
 
“Kebanyakan kerang diperoleh di sepanjang Lembah Kerian dan ada juga diambil di Sungai Petani.
 
“Kerang dan siput dari Lembah Kerian ini manis-manis lagi, tak tercemar dan sedap.
 
“(Dan) daripada maklum balas pelanggan, kerang semua sama cuma kelebihan di sini adalah kuah kacang dan satu lagi adalah harga.
 
“Untuk RM20 sekilo, boleh makan tiga empat orang…kalau datang sekeluarga pun, masih ‘tak tembus poket’ kerana harga sangat berpatutan,” selorohnya lagi.
 
BEKAS air plastik eksklusif pakai buang ini merupakan salah satu identiti tarikan pengunjung ke Gerai Anak Utara, kata salah seorang pengunjung kepada wartawan Buletin Mutiara.

Rasa Syukur

 
Tambah Khairul Safuan lagi, di luar bulan puasa beliau sekeluarga masih membuka Gerai Anak Utara seperti biasa dengan gulai ikan sembilang dan ikan pari sebagai menu utama.
 
“Saya begitu bersyukur kerana dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, bulan Ramadan memang ‘kian menjadi’ menu kerang rebus di Gerai Anak Utara.
 
“Sebelum pandemik (COVID-19), purata pengunjung harian pada hujung minggu sahaja lebih 3,000 orang, dalam seminggu lebih 5,000 orang.
 
KHAIRUL Safuan Kamaruddin

“Macam sebelum ini boleh rentas negeri (iaitu) sebelum COVID-19, pengunjung ramai dari Baling (Kedah), Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

 
“Semasa pandemik pun, Alhamdulillah pelanggan dalam sempadan Pulau Pinang boleh ‘turun’ sebab boleh rentas daerah,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa pihaknya sedaya upaya memastikan operasi perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
 
Info lanjut mengenai Gerai Anak Utara, boleh akses menerusi Facebook Khairul Keon atau laman (Page) Gerai Anak Utara.
 
“Ada juga pelanggan tradisi yang membuat tempahan meja dengan menghubungi (Eja) menerusi nombor telefon 013-292 9005 atau 011-6141 7951.
 
“Memang boleh tempah awal, sebelum jam 11:00 malam kecuali pada hari hujung minggu,” jelasnya.
 
Sebelum mengakhiri sesi wawancara tersebut, Khairul Safuan berkata beliau sekeluarga berbesar hati sekiranya Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri sudi bertandang ke Gerai Anak Utara dalam bulan Ramadan ini.
 
“Ada cadangan juga nak jemput Ketua Menteri ke sini, tapi tak berapa berani,” seloroh beliau sambil menyifatkan Lembah Kerian termasuk Gerai Anak Utara boleh menjadi satu lagi destinasi pelancongan desa negeri bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).