Temasya Sukan buka tirai penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 di Pulau Pinang

Admin
whatsapp image 2024 05 13 at 10.51.33

GEORGE TOWN – Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024 di negeri Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 22 Mei membuka tirai dengan penganjuran Temasya Sukan dekat Padang Kota Lama di sini hari ini.

Seramai 400 peserta daripada 40 organisasi muzium dari seluruh negara mengambil bahagian dalam lima acara yang dipertandingkan pada hari ini membabitkan sukan padang.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata Temasya Sukan antara kelainan yang dibawa oleh negeri Pulau Pinang selaku tuan rumah bagi penganjuran HMA kali ke-28 pada tahun ini.

whatsapp image 2024 05 13 at 10.58.22 (1) whatsapp image 2024 05 13 at 10.51.35

“Temasya Sukan ini merupakan usaha sama antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP).

“Pulau Pinang memberikan kelainan dengan penganjuran acara sukan secara terbuka yang akan dipertontonkan kepada pelancong-pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negeri.

“Pemilihan lokasi juga adalah eksklusif iaitu di Padang Kota Lama dan Penang Town Hall yang dikelilingi oleh pelbagai tarikan bersejarah Fort Cornwallis serta terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

“Justeru, saya berharap agar para atlet kontinjen HMA 2024 yang datang dari pelbagai pelosok negara dapat menikmati keindahan negeri Pulau Pinang dan menghayati nilai-nilai estetika tarikan sejarah di bandar raya George Town,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya Sukan HMA 2024 dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd. Razaimi Hamat dan Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad.

Pada sidang media selepas itu, Haryany berkata empat lagi acara sukan yang bakal dipertandingkan melibatkan sukan pantai akan berlangsung pada esok (14 Mei) dekat Batu Ferringhi.

“Selepas itu, kita akan mulakan dengan pameran yang disertai oleh muzium dari Singapura, Perancis serta beberapa institusi negeri dekat Dewan Sri Pinang dari 15 hingga 22 Mei ini.

“Selain pameran, turut akan berlangsung adalah persembahan-persembahan kebudayaan dan tradisional yang dibawa oleh muzium dari pelbagai negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak termasuk Kalimantan, Indonesia.

“Kita juga adakan kira-kira 15 bengkel dan seminar khusus untuk kanak-kanak hingga warga emas termasuk para pelajar selain demonstrasi daripada beberapa muzium yang terlibat,” jelasnya.

Haryani berkata, sebuah aplikasi pintar dikenali sebagai HMA 2024 juga telah dibangunkan bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat terkini mengenai acara-acara yang diadakan sepanjang festival berlangsung.

“Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk memuat turun aplikasi tersebut untuk memudahkan pengunjung menyemak maklumat dan mendaftar bagi menyertai pelbagai acara yang disediakan,” ujarnya.

Difahamkan, HMA 2024 yang bertemakan ‘Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan’ merupakan penganjuran yang julung kalinya diadakan di negeri Pulau Pinang dan dijangka bakal menarik kehadiran kira-kira 200,000 pengunjung.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR