Tembok diroboh demi keselamatan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 

PARA Penguatkuasa MPPP sedang mengalihkan kesan perobohan tembok dengan bantuan kren di Jalan Hutton di sini baru-baru ini.
PARA Penguatkuasa MPPP sedang mengalihkan kesan perobohan tembok dengan bantuan kren di Jalan Hutton di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Demi keselamatan orang awam, Unit Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bertindak merobohkan struktur bertembok di laluan belakang Hotel Penaga yang terletak di Jalan Hutton di sini baru-baru ini.

Selain faktor keselamatan bagi memastikan bahawa lorong berkenaan adalah selamat digunakan oleh orang awam ketika berlakunya kecemasan serta bagi tujuan penyelenggaraan bebas dari sebarang halangan ketika berlakunya kebakaran oleh pihak Bomba dan Penyelamat, tindakan perobohan tersebut adalah ekoran aduan orang ramai kepada pihak majlis.

Sebelum ini, pihak hotel telah diberikan notis melalui Jabatan Bangunan di bawah Seksyen 69 (3) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kepada pemilik untuk memulihkan semula halangan tersebut. Namun pemilik membuat permohonan selama sebulan untuk memulihkan keadaan tersebut.

Walau bagaimanapun, pada hari tindakan tersebut dijalankan, pemilik melalui kontraktor yang dilantik telahpun mengambil inisiatif mengalihkan struktur berkenaan dan pihak Penguatkuasa MPPP seramai 20 orang hanya membantu membersihkan kesan-kesan perobohan itu.

Isu ini juga pernah menimbulkan spekulasi apabila terdapat pihak mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung kegagalan Kerajaan Negeri mengambil tindakan terhadap pengusaha hotel. Pihak hotel memberikan kerjasama sepenuhnya semasa kerja-kerja perubohohan dilakukan.