Tembok laut Esplanade tiada masalah reka bentuk – Datuk Bandar

Admin

GEORGE TOWN – Tarikan terbaharu tembok penahan ombak di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah dekat Padang Kota Lama (Esplanade) yang dibuka kepada umum pada 13 Mei lalu tidak mempunyai masalah dari segi reka bentuk seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar Yew Tung Seang berkata demikian bagi menyangkal dakwaan bahawa tembok laut tersebut mempunyai masalah dari segi reka bentuk apabila kawasan di persiaran teres bawah (lower terrace) dinaiki air baru-baru ini.

 

“Pihak MBPP telah mengkaji segala perancangan (reka bentuk dan fungsi struktur) sebelum membangunkan kawasan ini malah faktor ombak turut diambil kira.

 

“Sememangnya, pihak kami (MBPP) menjangkakan bahagian persiaran teres bawah ini akan dipenuhi atau ditenggelami semasa fenomena air pasang besar (spring tide) seperti yang terjadi pada 16 dan 17 Mei baru-baru ini.

 

“(Dan) ini bukanlah fenomena luar biasa yang mana air laut pasang akan berlaku antara 30 hingga 45 hari dalam setahun, semua lokasi tepi laut tidak terlepas daripada mengalami keadaan ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di lokasi berkenaan pada 18 Mei 2022.

PERSIARAN teres bawah yang menjadi tumpuan ramai mempunyai nilai warisan dan sejarah ini turut dilengkapi dengan pemantauan CCTV.

Mengulas lanjut, Tung Seang berkata bahawa pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang beberapa meter dari lokasi tersebut.

 

Jika dilihat di sini, pihak kami turut mempunyai CCTV untuk memantau keadaan semasa selain meletakkan penghadang sementara antara pukul 9 malam sehingga 7 pagi demi menjaga keselamatan pengunjung di kawasan tersebut.

 

“Justeru, saya menyeru kepada orang awam supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan juga kanak-kanak yang mengunjungi kawasan ini sama seperti mana-mana kawasan tepi pantai lain.

 

“MBPP juga berharap agar pengunjung dapat menikmati pemandangan dan suasana selesa dan selamat di sini sambil menghayati nilai keaslian sejarah kawasan tersebut,” jelasnya yang turut menjangkakan kejadian air pasang besar itu.

PAPAN tanda pemberitahuan dwibahasa yang ditempatkan di sini.

Tambah beliau, sebagai langkah keselamatan, pihaknya turut meletakkan papan tanda pemberitahuan yang memaparkan waktu laluan pesiaran teres bawah dibuka iaitu antara jam 7 pagi hingga 9 malam beserta amaran yang melarang masuk semasa air pasang, hujan ataupun ketika ombak kuat dan kanak-kanak mesti ditemani oleh orang dewasa.

 

Selain itu, papan keterangan mengenai tinggalan tembok lama di persiaran teres bawah akan diletakkan bagi memberi maklumat tambahan kepada pengunjung mengenai kawasan tersebut yang mempunyai susur galur sejarah yang lama.

 

Pada 16 Mei lalu, pasukan penguatkuasaan MBPP mengadakan kawalan keselamatan dan menutup sementara laluan ke persiaran teres bawah berikutan kejadian air laut pasang besar yang melebihi ketinggian kawasan tersebut.

 

 

FRANCESCO Siravo.

 

Sementara itu, perunding arkitek antarabangsa dari Aga Khan Trust for Culture (AKTC), Francesco Siravo yang hadir sama pada sidang media tersebut turut berkongsi perspektif beliau mengenai pembangunan tepi laut di beberapa negara lain.

 

“Misalnya Croatia, Texas (Amerika Syarikat) dan Zanzibar yang menghadapi situasi sama berkaitan fenomena laut (air pasang) seperti di sini (Esplanade) dan ia bukanlah masalah reka bentuk.

 

“Saya harap pengunjung yang datang ke sini dapat mengambil kesempatan untuk menikmati pemandangan dan berada lebih dekat dengan laut,” katanya.

 

Difahamkan, kawasan tembok laut tersebut mempunyai tapak dan struktur asal paling tua dan penting dalam sejarah George Town yang mana kawasan persiaran teres bawah ini direka dengan mengekalkan sebahagian tinggalan tembok lama sebagai elemen konservasi warisan.

 

Malah, pengunjung juga dapat mendekati dan melihat sendiri tinggalan tembok lama tersebut yang mempunyai nilai keaslian warisan dan sejarah sejak tahun 1807.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING