Tempah cenderahati Penang FC mulai 20 September

GEORGE TOWN – Peminat Penang FC boleh mendapatkan cenderamata khas berupa baju-T, mafla dan jaket dalam pilihan dua warna menarik yang dikeluarkan oleh kelab bola sepak negeri mulai 20 September ini.

 

Bercakap kepada pemberita, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, beliau berharap usaha penjenamaan kelab dengan menggunakan tanda pagar #OrangKITA dapat meningkatkan semangat serta budaya sukan dalam kalangan masyarakat lokal.

 

“Penjenamaan ‘#OrangKITA’ ini diusahakan sesuai dengan budaya sukan bola sepak di kalangan masyarakat Pulau Pinang yang meraikan para pemain dan pegawai sukan bola sepak sejak pasukan ini di bawah tadbir urus Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

 

“Para pembeli yang berminat boleh membuat tempahan melalui talian 017-455 6873 (Kanan Kalimuthu), Pegawai Pemasaran PFC atau wakil edaran sah di talian 017-424 1430 (Adi M’sia) dan 017-455 6972 (Emiz SK) mulai 20 September 2021,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Cenderahati Penang FC di Komtar hari ini.

 

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Farazi Johari; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi dan Pengurus Besar PFC, Jeffrey Chew.

 

 

Dimaklumkan, baju-t berkolar adalah berharga RM89, mafla (RM49.90) dan jaket (RM109.90).

 

 

Tambah Lip Chee, penjualan ini adalah suatu yang di luar dugaan  dan pastinya memberikan cabaran yang besar untuk PFC memastikan semua permintaan tersebut dipenuhi secepat mungkin, khasnya semasa kempen Piala Malaysia sedang berlangsung.

 

 

“Oleh kerana itu, untuk Fasa 1 dan Fasa 2 penjualan barangan dagangan PFC akan dibuat melalui dalam talian terlebih dahulu bagi memastikan pembeli yang serius sahaja diberi keutamaan untuk mendapatkan bekalan dalam tempoh masa yang cepat.

 

 

“Selain itu, pihak Pengurusan PFC juga telah dihubungi pelbagai premis perniagaan barangan sukan yang mahu berkolaborasi dengan Penang FC untuk menjadi wakil penjual barangan dagangan Penang FC.

 

 

“Oleh itu, PFC menjangkakan urusan dengan pelbagai outlet sukan tersebut akan dapat dimulakan mulai 1 November 2021,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

 

 

Pada majlis sama, pengurusan PFC turut menyampaikan hadiah berupa cenderahati PFC kepada tiga penghantar video yang mendapat tontonan tertinggi.

 

Mereka yang terpilih adalah Muhammad Nuqmam Hakim Azhari (kategori lelaki), Siti Norosemiza Shaik Abu Bakar (kategori wanita) dan Teh Bi Han (remaja).

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN