Tempoh kempen 14 hari mencukupi – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan tempoh berkempen selama 14 hari seperti yang diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mencukupi bagi semua parti politik dan individu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sambil menyambut baik pengumuman SPR hari ini yang menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon dan 19 November sebagai hari mengundi, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melihat tempoh itu sebagai adil kepada semua pihak untuk menerangkan agenda yang ingin dibawa kepada pengundi masing-masing.

“Saya lihat masa yang diberikan amat mencukupi memandangkan Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan penamaan calon ditetapkan pada 5 November ini.

“Ini bermaksud 25 hari sudah berlalu dari tempoh pembubaran Parlimen yang mana pada lazimnya boleh dianggap sebagai satu tempoh yang amat mencukupi bagi semua pihak baik parti-parti kerajaan mahupun pembangkang atau individu-individu yang berminat untuk bertanding pada PRU15.

“Jika bandingkan dengan dua PRU lepas, ia mungkin kurang beberapa hari tetapi secara keseluruhannya masa yang ditetapkan adalah adil kepada semua pihak untuk memaklumkan kepada pengundi mengenai misi, visi dan agenda yang ingin dibawa oleh parti-parti atau calon-calon yang bertanding,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 dekat sini sebentar tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri pada 10 Oktober lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU15.

Susulan daripada itu, SPR telah bermesyuarat hari ini dan menetapkan 19 November ini (Sabtu) sebagai hari pengundian bagi PRU15 sementara tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November ini (Sabtu).

Bagi pengundian awal pula, tarikh 15 November dipilih dan tempoh berkempen bagi PRU15 adalah selama 14 hari.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani yang tidak akan bertanding pada PRU15, Kon Yeow berkata bahawa DAP Pulau Pinang sudah mengambil maklum dan menghormati keputusan tersebut.

“Kita terima keputusan mantan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani untuk tidak bertanding dan ini sekali gus membolehkan parti mengemukakan nama baru sebagai calon pada PRU ini.

“Walaupun kita berat hati untuk terima keputusan ini, tetapi kita hormati pendirian beliau dan akan mencari pengganti bagi kawasan ini.

“Walaupun sudah tidak menjadi wakil rakyat lagi, tetapi beliau memaklumkan bahawa (beliau) akan terus membawa isu-isu rakyat khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia melalui platform berlainan,” ujarnya