GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy memberitahu bahawa tempoh pemprosesan yang tidak dapat ditetapkan membabitkan agensi-agensi kerajaan berkaitan merupakan antara masalah yang dihadapi Pegawai Pembantu Kewarganegaraan dilantik Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah serta permohonan membabitkan golongan yang mempunyai masalah kerakyatan di negeri ini.
Katanya, agensi-agensi terlibat adalah Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri yang mana permohonan-permohonan seperti sijil lahir, kad pengenalan, kewarganegaraan dan kes-kes imigresen adalah bergantung secara langsung dengan pihak-pihak terbabit.
“Selain itu, masalah birokrasi yang mana membabitkan permohonan-permohonan yang memerlukan carian dokumen yang banyak, pemohon gagal dalam ujian Bahasa Malaysia, carian dokumen tidak berjaya dan karenah agensi juga menyebabkan banyak kes serta permohonan tidak dapat diselesaikan,” katanya pada majlis sidang media Program Kewarganegaraan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Turut hadir, lima Pegawai Pembantu Kewarganegaraan yang dilantik bagi setiap daerah di negeri ini, iaitu, Chiam Heng Hak bagi Daerah Timur Laut; Abdul Rahim Mohamed Nor (Daerah Barat Daya); K. Ketenasamy (Daerah Seberang Perai Utara); P. Rachenamorty (Daerah Seberang Perai Tengah) dan R. Gunalan (Daerah Seberang Perai Selatan).
Penubuhan Jawatankuasa Pembantu Kewarganegaraan yang dilancarkan pada Februari 2013 adalah sebagai inisiatif khas dalam menyelesaikan masalah kerakyatan di Pulau Pinang.
Susulan itu, lima Pegawai Pembantu Kewarganegaraan yang ditempatkan di setiap daerah turut dilantik bagi melancarkan pelaksanaan program berkaitan.
Menurut Ramasamy, dari tempoh 1 Februari 2013 hingga 30 Jun 2015, sebanyak 553 individu telah dibantu oleh Pegawai-pegawai Pembantu Kewarganegaraan berhubung permohonan untuk memperoleh sijil kelahiran, MyKad Biru, status kewarganegaraan dan lain-lain.
“Bagi tempoh tersebut, sebanyak 37 kes telah berjaya diselesaikan manakala 19 ditolak membabitkan permohonan MyKad Biru (18) dan permohonan permit masuk (1),” jelas beliau.
Mengulas lanjut Ramasamy memberitahu bahawa Program Kewarganegaraan tersebut merupakan sebuah program yang menyeluruh dalam membantu rakyat bagi memperoleh status kewarganegaraan.
“Status warganegara ini bukan sahaja bagi menyelesaikan masalah seperti pendaftaran sekolah dan bantuan kerajaan, malah, ia juga akan memudahkan seseorang individu terbabit mendapatkan perkhidmatan yang selayaknya sebagai seorang warganegara,” ujarnya.
d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);