Tenaga mahir PP setanding tahap antarabangsa

Admin

GEORGE TOWN – Kelembapan ekonomi yang melanda Pulau Pinang sekitar 1960-an telah menyebabkan Kerajaan Negeri pimpinan mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu mengambil langkah-langkah afirmatif dalam mempergiatkan sektor perindustrian dan menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri yang berorientasikan perindustrian eksport dengan eunikan yang tersendiri.

Kini di bawah pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Pulau Pinang bukan sahaja mampu melonjakkan diri dalam industri pembuatan malah mampu berbangga dengan perkembangan eko-pelancongan yang menjadikan sektor pelancongan negeri sebagai salah satu sumber pendapatan negeri.

Terbaru dalam Seminar Pelaburan Pulau Pinang (Penang Investment Seminar), Guan Eng berkata bahawa Kerajaan Negeri telah merangka pelan jangka panjang yang mempunyai aset secara kolektif bernilai RM300 bilion, bagi sektor eko-pelancongan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.


Beliau berkata, Pulau Pinang mahu mengekalkan kelebihan dalam industri pembuatan dan memperkasakan sektor perkhidmatan, supaya keunikan sektor pelancongan boleh menjadi faktor penyumbang kepada lebih daripada 50% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Tambah beliau lagi, Pulau Pinang bukan sahaja bakal melalui transformasi menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan juga sebuah bandaraya pintar, malah, Pulau Pinang juga bakal mempergiatkan tujuh kelebihan yang terdapat di negeri ini antaranya kestabilan dan polisi anti rasuah diamalkan Kerajaan Negeri ternyata berjaya menambat kehadiran pelabur ke negeri ini.

Pulau Pinang mampu menjadi hab bagi perindustrian berteknologi tinggi yang ekonominya turut didorong oleh sektor pelancongan,” ujar Guan Eng dalam ucaptama di Seminar Perlaburan Pulau Pinang di Rasa Sayang Resort & Spa, di sini.

Seminar yang dianjurkan oleh ECM Libra turut mendapat penyertaan dari China Merchant Group, Oclaner Asset Management (M) Sdn. Bhd dan Religare Capital Markets Corporate Finance (M) Ltd.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif ECM Libra, Datuk Seri Kalimullah Hassan berkata bahawa kecenderungan pelabur memilih Pulau Pinang adalah tinggi kerana kepakaran tenaga kerja yang ditawarkan setanding tahap antarabangsa. Malah beliau berkata bahawa Pulau Pinang kini telah mencapai tahap pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang membanggakan.