Tender pembaikan Rumah Tetamu Seri Teratai dibuka selepas selesai kerja-kerja penilaian – Farizan

Admin

GEORGE TOWN – Rumah Tetamu Seri Teratai dekat Jalan Macalister, di sini kini dalam proses penilaian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dapat dimulakan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Beliau berkata, pihak JKR kini sedang meneliti kerja-kerja pembaikan dan penggantian yang perlu dilakukan sebelum mereka mengeluarkan spesifikasi kerja serta anggaran kos bagi membolehkan tender terbuka dilaksanakan.

“Oleh sebab Ketua Menteri menyatakan kesudian beliau dan keluarga untuk tinggal di sini, maka hari ini saya mengadakan lawatan untuk menyemak dan meneliti cadangan oleh JKR supaya dilakukan beberapa kerja pembaikan yang sesuai dengan mengambil kira sumber kewangan Kerajaan Negeri yang terhad.

“Jadi kita (pentadbiran negeri) cuma akan lihat apa yang perlu dilakukan berdasarkan cadangan oleh JKR seperti penggantian langsir, peralatan pendingin hawa, pendawaian elektrik dan beberapa pengubahsuaian lain yang dirasakan sesuai dengan mengambil kira sumber kewangan Kerajaan Negeri yang terhad,” ujarnya pada sidang media sempena lawatan ke kediaman berkaitan sebentar tadi.

Antara ruangan di Seri Teratai yang memerlukan pembaikan

Farizan memaklumkan, kali terakhir kerja-kerja pengubahsuaian Seri Teratai dilakukan adalah sebelum Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menduduki kediaman berkenaan pada tahun 2002.

“Selepas Tuan Yang Terutama berpindah ke Seri Mutiara, Seri Teratai kembali kosong dan dijadikan rumah tetamu untuk menempatkan tetamu Kerajaan Negeri Negeri.

“(Dan) Memandangkan ini (Seri Teratai) aset Kerajaan Negeri, maka kita lakukan kerja-kerja penyelenggaraan kecil kerana tidak ada kerosakan utama dikenal pasti.

“Berdasarkan rekod, kita hanya membelanjakan sebanyak RM145,000 untuk kerja-kerja selenggara iaitu RM89,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan RM56,000 oleh JKR pada tahun 2008 hingga 2009,” jelasnya.

Ketika ditanya berkenaan tempoh masa bagi kerja-kerja pengubahsuaian, Farizan berkata, perkara itu akan ditentukan berdasarkan spesifikasi kerja yang akan dikeluarkan oleh pihak JKR.

“Terlalu awal untuk maklumkan tempoh masa tetapi apabila tender dikeluarkan nanti kita akan nyatakan tempoh kerja perlu disiapkan,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN