Terima anugerah D.S.P.N., Pathmanathan kini bergelar Dato’

Admin
dscf1781 K. Pathmanathan

GEORGE TOWN – Ir. K. Pathmanathan merupakan antara 346 individu yang menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan pada Istiadat Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang pada hari ketiga acara, 31 Julai 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkenaan menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’, selepas mengetuai dan berkhidmat selama kira-kira empat tahun dengan firma operator air negeri.

af095b2e 72fa 4225 892e ede342bfc2f3
KETIBAAN Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan, tengah) dengan diiringi Ketua Menteri (depan, kiri) dan Law Choo Kiang (depan, kanan) serta barisan tetamu kenamaan lain di Dewan Sri Pinang di sini menjelang 9.00 pagi tadi.

Penyampaian anugerah kebesaran tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang.

Berusia 56 tahun, beliau yang ditemui menzahirkan penghargaan kepada TYT dan Kerajaan Negeri hari ini atas kurniaan darjah kebesaran tersebut.

“Perasaan teruja… terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah memberi anugerah ini.

“Dengan penganugerahan ini, saya berasa akan berkhidmat lebih proaktif,” jelasnya lagi kepada Buletin Mutiara di lobi Dewan Sri Pinang pada pagi tadi.

Menurutnya lagi, penganugerahan darjah kebesaran tersebut dianggap sebagai suatu pengiktirafan kepada sekalian anggota PBAPP dalam meningkatkan prestasi perkhidmatan perbekalan air terawat negeri selama tempoh kepimpinannya sejak empat tahun lepas.

“Saya berasa penganugerahan ini bukan hanya kepada (diri saya secara) perseorangan, (tetapi) juga kepada warga PBAPP.

“Jadi, kami (warga PBAPP) merakamkan ucapan terima kasih,” jelasnya lagi sambil menganggap perkhidmatan perbekalan air negeri di Pulau Pinang kian baik hasil sokongan tak berbelah bahagi daripada pihak Kerajaan Negeri dan para pemegang taruh berkenaan.

Tahniah Dato’!

Tahniah PBAPP!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR