Terima kasih dan bersemadilah dengan aman Mr. Ong

BELIAU merupakan individu yang akan dicari sekiranya ingin berurusan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan beliau juga akan dicari jika berurusan dengan Pejabat Ketua Menteri.

Dikenali dengan sifatnya yang lemah lembut dan sopan, beliau telah mendedikasikan hidupnya selama 61 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Komitmen terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan, beliau amat disenangi dan dihormati oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya sebagai Mr. Ong.

Mendiang Ong See Fook, penjawat awam paling lama berkhidmat di Malaysia menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun, 18 Oktober lalu.

Memulakan tugas dalam perkhidmatan awam pada 3 September 1956 di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang) ketika usianya 22 tahun.

Pada ketika itu, Tan Sri Wong Pow Nee memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama sebelum bertugas sebagai Pembantu Peribadi Tun Datuk Seri Dr. Lim Chong Eu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang kedua.

Beliau kekal berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri di bawah Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, dan pada 2008, beliau masih menabur bakti di Pulau Pinang di bawah pimpinan Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sehingga nafas terakhir.

Antara yang paling terkesan pemergian See Fook, adalah Guan Eng.

“Mendiang seorang yang rendah diri, ikhlas dan sangat berdedikasi…malah beliau juga seorang yang profesional, berdisplin, boleh diharap dan boleh dipercayai…ciri-ciri personaliti yang harus diterapkan dalam diri setiap penjawat awam.

“Beliau akan terus diingati sebagai ‘perpustakaan manusia’ kerana kekayaan khazanah pengalaman kerjanya di bawah pemimpin yang berbeza..dengan caranya yang tersendiri menyimpan rekod…saya akan merinduinya,” kata beliau yang turut menzahirkan ucapan terima kasih dan takziah kepada keluarga mendiang.

Malah, Guan Eng turut berkongsi cerita mengenai dedikasi yang ditonjolkan mendiang semasa hayatnya.

“Adakala saya perlu berada di pejabat sehingga pukul 4 pagi, mendiang akan pastikan saya pulang dahulu sebelum beliau pulang ke rumah, termasuk ketika hujung minggu dan cuti umum,” ceritanya.

Bagi Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, beliau menyifatkan mendiang seorang yang pendiam dan sangat teliti.

“Beliau melakukan tugas dengan gigih dan tekun, kehilangan beliau pasti dirasai,” ujarnya.

Dato’ Law Choo Kiang yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri turut menggambarkan See Fook sebagai pekerja yang setia, berdisiplin dan pendiam.

“Saya pasti ramai yang merasai kehilangannya,” katanya.

Terima kasih dan bersemadilah dengan aman Mr. Ong.