Terima kasih dan syabas! “Kita semua berani berdepan cabaran, bantu Pulau Pinang bangkit semula” – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri tidak sesekali akan melupakan jasa 1,748 kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang bertungkus-lumus ‘memulihkan’ negeri ini daripada kesan bencana banjir terburuk yang berlaku pada 4 dan 5 November lalu.

Menurut beliau, walaupun ada antara kakitangan yang rumah mereka sendiri dilanda banjir, namun tetap sanggup hadir memberi bantuan dalam kerja-kerja pembersihan.

“Saya difahamkan bahawa seramai 1,748 kakitangan MBPP dari pelbagai jabatan turut serta dalam operasi pembersihan pasca
banjir ini.

“Syabas dan tahniah diucapkan kerana anda, kita semua berani berdepan cabaran, dan bantu Pulau Pinang bangkit dengan cepat (10 hari).

“Kerajaan Negeri dalam pada itu turut memperkenalkan Program Pulau Pinang Bangkit dan memperuntukkan RM105 juta untuk membantu dalam pemulihan dan pembinaan semula kehidupan rakyat,” ucapnya pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Penghargaan Kepada Petugas-petugas MBPP Yang Terlibat Dalam Operasi Banjir di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, pihaknya tidak akan lari daripada masalah.

“Walau macam mana susah, walau macam mana sukar, walau macam mana pedih pun, kita (Kerajaan Negeri) tidak akan berganjak, tidak akan elak, tidak akan hilangkan diri, tidak akan lari, malah kita (Kerajaan Negeri) akan berdepan bersama-sama rakyat,” tegasnya dengan penuh semangat.

Kon Yeow dan Maimunah ketika berucap turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh agensi kerajaan, badan-badan
bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan individu-individu yang berdedikasi ‘memulihkan’ Pulau Pinang dalam tempoh singkat.

Bagi anggota Penguatkuasa MBPP, MUHAMMAD ASRAF CHE SAP, 24, kenangan bertugas ketika banjir sememangnya tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Ketika hari banjir, saya tidak tidur lebih daripada 20 jam kerana bertugas, pakaian pun tidak sempat tukar, dalam keadaan pakaian yang basah, saya tetap terus bertugas bagi memastikan Pulau Pinang pulih dengan cepat.

“Tambahan pula motosikal saya turut mengalami kerosakan ketika bertugas akibat meredah air banjir,” ujarnya yang telah
berkhidmat selama tiga tahun dengan MBPP kepada Buletin Mutiara di sini.

Seorang lagi kakitangan, ABDUL QAYYUM ABDUL AZIZ, 31, menyatakan bahawa sebagai kakitangan MBPP, beliau tidak menghiraukan penat dan keringat yang dicurahkan asalkan negeri ini mampu pulih dengan cepat.

“Rasa puas bila Pulau Pinang mampu pulih dan bersih seperti sedia kala dalam tempoh 10 hari sahaja, dengan adanya majlis penghargaan macam ini, kami berasa dihargai oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya.