Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Transformasi dilakukan Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif terhadap organisasi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dilihat sebagai batu loncatan yang melayakkan beliau menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa kepada gelaran Datuk di sini baru-baru ini.
Maimunah menerima darjah kebesaran tersebut sempena sambutan ulangtahun ke-76 Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.
Menurut Maimunah, antara pembaharuan yang beliau lihat sangat penting dalam MPSP hari ini adalah mengembalikan kontrak pungutan sampah kepada PBT sebagai penjimatan perbelanjaan serta bajet dan menaiktaraf pasar-pasar awam serta tempat makan di sekitar Seberang Perai.
“Selain kontrak pembersihan, pungutan sampah, naiktaraf fasiliti, saya turut mengeluarkan satu pelan promosi pelancongan di kawasan yang jarang dikunjungi pelancong dekat Seberang Jaya.
“Malah, selain perubahan dalam kerajaan tempatan, kecekapan tadbir urus kewangan MPSP turut dilihat sebagai kecemerlangan sepanjang pentadbiran saya,’’ katanya kepada Buletin Mutiara selepas menerima darjah kebesaran berkenaan di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Maimunah bercadang mengantarabangsakan lagi MPSP dengan menyertai badan-badan antarabangsa.
“Apa yang penting sekarang, saya ingin meneruskan khidmat cemerlang dan terus berkerja keras memacu MPSP ke peringkat yang lebih tinggi seiring dengan kemajuan negeri Pulau Pinang,” tambahnya.
Serentak itu, ekoran pengiktirafan tersebut, Maimunah menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak-pihak yang senantiasa menyokong beliau terutamanya Kerajaan Negeri, keluarga, MPSP sendiri dari kakitangan atasan sehinggalah bawahan.
“Tanpa pihak-pihak tersebut yang banyak membantu, tidak mungkin saya berada seperti di tahap sekarang,” seru Maimunah.