BERTAM – Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Sains @ Bertam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pulau Pinang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Kolej Komuniti, Institut Latihan Industri (ILP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irsyad yang terdapat dalam kawasan Parlimen Kepala Batas merupakan antara mercu tanda pembangunan modal insan serta legasi yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri Ke-5 Malaysia, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dipanggil ‘Pak Lah’ untuk rakyat setempat.


Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana mengabadikan nama Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia dekat Batu Kawan.
“Dahulunya Kepala Batas dikenali sebagai ‘pekan koboi’; tetapi hari ini Kepala Batas telah berubah… semua ada.
“Tentu sekali kalau kita berjalan ke depan, toleh ke belakang, kiri dan ke kanan, tidak mungkin dapat asingkan diri kita dengan sumbangan besar Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.
“Maka, atas sebab itu juga lah, bagi pihak orang Kepala Batas (iaitu) seluruh watan Kepala Batas, saya nak merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada YAB Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mengambil keputusan untuk menamakan Lebuhraya Bandar Cassia dengan nama Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Bertam di Bertam Square di sini pada 19 April 2025.
Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata kehadiran Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor dengan diiringi Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee menambah makna pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung Umno; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga, Ustaz Mohd. Naib Saleh.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN