Terima kasih YB – moga bersemadi dengan aman

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & YAP LEE YING

GEORGE TOWN – Majlis Penghormatan Terakhir Kerajaan Negeri kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh di Dewan Sri Pinang di sini mula dibanjiri hadirin seawal jam 6 pagi dan dianggarkan meningkat ke angka 25,000 semasa perarakan menuju ke tapak Krematorium Batu Gantung menjelang tengah hari baru-baru ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Permatang Pauh), dan Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah, Johor), antara pemimpin yang hadir merakamkan takziah kepada keluarga mendiang.

Itu, tidak termasuk kehadiran tidak putus-putus orang kenamaan dari serata negara yang hadir di rumah mendiang dekat Jalan Utama, Kebun Bungah sepanjang tiga hari.

Tinjauan mendapati, perarakan keluar mendiang dari Dewan Sri Pinang sedikit kelam kabut dan terlewat menjelang ke tengah hari, gara-gara
orang awam terus berpusu-pusu masuk ke majlis bermakna itu.

Kemudian, ribuan hadirin mengiringi perarakan kenderaan jenazah di beberapa lokasi yang signifikan dengan peribadi ahli politik berpengaruh yang mendapat gelaran ‘Harimau Jelutong’ itu, seperti pejabatnya di Jalan Green Hall, Dewan Undangan Negeri (DUN), Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan sekolah lamanya, St. Xavier Institution sebelum dibakar di Krematorium Batu Gantung di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya semasa Pengebumian Awam dikendalikan Negeri di Dewan Sri Pinang menyatakan
bahawa selama 40 tahun, Saudara Karpal mendedikasi hidupnya kepada profesion undang-undang, berjuang untuk keadilan, mendukung hak asasi dan kebebasan yang terkandung dalam Perlembagaan. Kes-kes penting beliau kini menjadi rujukan untuk para peguam.

“Dengan pemergian beliau sebelum waktunya pada usia 74 tahun akibat kemalangan tragik pada 17 April 2014, Pulau Pinang telah kehilangan seorang pemimpin dan peguam yang terhormat dan terunggul. Rakyat telah kehilangan seorang “harimau” yang berani dan mempunyai  semangat waja yang membela mereka yang miskin, lemah, tidak mampu mempertahankan diri dan ditindas.

“Namun semangat perjuangannya paling menonjol. Meskipun Karpal ditahan secara fizikal, semangatnya tidak boleh ditahan. Saya telah menyaksikan ketabahannya dengan mata sendiri apabila kami ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang yang sudah dimansuhkan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1988 di Kem Tahanan Kamunting. Beliau mengalami kesengsaraan akibat kesakitan perit di tulang belakang tetapi tidak pernah menyerah kalah,’’ ujarnya.

Guan Eng menambah, pemergian beliau (mendiang) akan meninggalkan kekosongan bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mendapat inspirasi daripada perjuangan yang berteraskan prinsip.

“Marilah kita berkabung untuk Karpal Singh, tetapi pada masa yang sama menghormatinya dengan meraikan semua pencapaiannya serta merealisasikan aspirasinya untuk keadilan, integriti dan kebebasan.

Terima kasih Karpal – Moga disemadi dengan aman,’’ ucap beliau sebak.