Ternak ayam piru jika punyai tanah mencukupi – Exco

PULAU BETONG – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyeru rakyat Pulau Pinang yang mempunyai tanah mencukupi agar menceburkan diri dalam bidang penternakan ayam piru.

Menurut beliau, harga sekilogram daging ayam piru kini mampu mencecah sehingga RM30.

“Seekor ayam piru boleh mencecah enam hingga tujuh kilogram. Oleh itu, jika didarabkan (tujuh kilogram) ianya boleh mencapai ratusan ringgit,” ujarnya pada sesi lawatan ke ladang baka ayam piru Teroka Jaya Enterprise di sini baru- baru ini.

Turut serta, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, PPK Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid dan Pengurus Teroka Jaya Enterprise Farm, Farizal Hamidon.

Sempena lawatan terbabit, Afif dan rombonganya turut dibawa melawat di kawasan dalaman kandang ternakan termasuk diberi penjelasan berhubung teknik penjagaan serta pemakanan.

Menurut Afif, majoriti bekalan ayam di piru di Malaysia diimport dari luar kerana permintaan di negara ini adalah melebihi kuantiti pengeluaran.

“Dalam membantu usahawan-usahawan muda, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim mikro kredit pinjaman untuk petani dan penternak tanpa faedah iaitu Skim Usahawan Tani Muda. Buat masa sekarang, kita (Kerajaan Negeri) sedang tapis nama- nama yang telah didaftar untuk proses selanjutnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Farizal memberitahu bahawa beliau bersyukur dengan pencapaian dikecapi kini.

“Ladang ini merupakan tempat latihan dan kursus bagi penternak yang berminat memulakan perniagaan berasaskan ternakan ayam piru ini.

“Usahawan dan pengusaha dari seluruh negara datang ke sini, termasuk dari universiti-universiti tempatan yang datang belajar dan melakukan latihhan industri (praktikal) di sini,” ujarnya.

Tambah Farizal, kini, ladangnya mampu menetaskan 1,500 telur dalam tempoh sebulan dan sasaran beliau adalah (menetaskan) 5,000 biji bagi memenuhi pasaran negara bagi tujuan pembiakan.