Ternak khinzir perlu Sediment Pond RM7 juta – Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TASEK GELUGORKerajaan Pusat wajar mengeluarkan peruntukan kira-kira RM7 juta bagi membina kolam perangkap mendapan (sediment pond) di Sungai Kereh dekat Kampung Selamat di sini, sekiranya ikhlas mahu menyelesaikan masalah pencemaran sungai tersebut yang berpunca oleh kumbahan sisa dari 85 ladang ternak khinzir.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, inisiatif Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor) sebelum ini menyalurkan peruntukan Pusat berjumlah RM750,000 untuk kerja-kerja infrastruktur serta pelepasan mikrob berguna (UM) hanya solusi sementara bagi menurunkan kadar pencemaran di sungai tersebut.

Kerajaan Negeri sendiri, menurut beliau, memperuntukan RM10,000 pada tahun 2010 bagi melepaskan UM (useful microbe) ke sungai tersebut sahaja, diikuti, RM25,000 (2011), RM40,000 (2012) dan terbaru RM90,000 (2013).

Impaknya, beliau berkata, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai tersebut sejak tahun 2010 dilihat kian terpulihara pada kadar 3, berbanding sebelumnya pada kadar 5 (tercemar teruk).

Justeru, beliau berkata, IKA Sungai Kereh yang menyalir ke kawasan pertanian padi berkeluasan keseluruhan 351 hektar di Mukim 12 Kampung Tok Bedu, Kampung Air Melintas Kecil, Kampung Air Melintas Besar, Kampung Datuk Keramat, Kampung Tasek Gelugor, Kampung Air Itam, Kampung Air Dalam, Kampung Matahari Naik dan Kampung Pokok Tampang tidak wajar dipersoal lagi kerana sumber air tersebut masih di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ini soalan yang dikitar semula di Parlimen (Dewan Rakyat) sahaja. Sekurang-kurangnya Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang baru (Shabudin Yahaya) kaji dahulu apa yang telahpun dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Nor Mohamed atas inisiatif beliau sebelum ini.

“Setakat ini, kita (Kerajaan Negeri) masih tidak mempunyai solusi tetap bagi menangani masalah lama ini…kalau Pusat serius, bawalah peruntukan untuk bina sediment pond di Sungai Kereh,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Penjelasan Dr. Afif itu sekaligus menolak tuduhan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang menyebut Kerajaan Negeri kononnya mengabaikan pencemaran Sungai Kereh dan beberapa sungai lain akibat dari kumbahan sisa khinzir.

“Masalah ini timbul sejak 15 tahun dulu, saya pun tak tahu apa Kerajaan Negeri (era Barisan Nasional) dulu buat.

“Janganlah isu ini dimainkan (atas sentimen) keagamaan pula (kerana) tidak mudah untuk ditutup sekarang kerana semua ladang tersebut mempunyai lessen yang sah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Kawa l a n Pencemaran di bawah JPV telahpun mengawal kadar efluen ladang babi.

“Pihak JPV akan menahan permit pemindahan ternakan (ke atas) ladang (ternakan khinzir) yang melebihi tahap BOD (permintaan oksigen biokimia) 50,” ujar beliau menuntut keikhlasan daripada Shabuddin dan Ismail Sabri.

Baginya, kira-kira 100,000 ekor khinzir yang diternak di kawasan tersebut sepatutnya dianggap sebagai jaminan keselamatan makanan (food security) bagi pelanggan bukan Islam di negeri berkenaan.

Tuntas itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk duduk semeja dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan operasi penternakan khinzir di kawasan berkenaan mengikut piawaian yang digariskan oleh kementerian berwajib.