Ternakan udang teknologi SAFS potensi besar kepada ekonomi akuakultur

BATU MAUNG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melihat potensi industri ternakan udang spesies ‘vannamei’ mempunyai potensi yang besar kepada ekonomi berasaskan akuakultur di Pulau Pinang.

 

 

Beliau dalam pada itu melihat ternakan udang tersebut juga mempunyai pasaran selamat dengan permintaan yang tinggi.

 

 

“Cuma kekangannya adalah isu tanah untuk mengusahakan ternakan udang ini dan isu alam sekitar, namun saya percaya dengan (keupayaan) jabatan-jabatan kerajaan yang mempunyai kepakaran untuk penyelidikan bagi memasarkan udang ini menggunakan teknologi pintar.

 

 

“Malah, saya melihat penggunaan teknologi juga akan membantu ternakan ini dijalankan dalam keadaan terkawal, menangani isu risiko seperti penyakit, intervensi segera ekoran adanya bantuan teknologi.

 

 

“Pulau Pinang bukanlah sebuah negeri yang besar, namun ada beberapa tempat dikira sesuai untuk menjalankan aktiviti ini dan Exco berkaitan akan meneliti cadangan-cadangan terbabit demi masa depan sektor ternakan udang ini,” ujarnya sempena taklimat dan lawatan ke Projek Smart Sustainable Aqua Farming System (SAFS) milik syarikat Asia Aquaculture Sdn. Bhd. di Teluk Tempoyak dekat sini petang tadi.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang, Abdul Aziz Rosidi; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainudin dan Pengerusi Eksekutif Asia Aquatech Sdn Bhd. Bhd. Datuk Ismail Jusoh.

 

 

Ismail pada sesi taklimat berkaitan memaklumkan bahawa setiap kolam berkeluasan 34 meter persegi yang digunakan bagi tujuan ternakan mampu menghasilkan 5 tan metrik udang atau bersamaan 20 tan metrik setahun.

 

 

“Dengan jumlah tersebut, pulangan yang mampu dihasilkan adalah dianggarkan sekitar RM3 juta setahun bagi setiap kolam.

 

 

“Di Aquatech teknologi SAFS dibangunkan untuk kawalan mutu, kualiti air, kawalan bakteria, penyakit, teknik penjagaan efektif, pemakanan, probiotik, kawalan oksigen, auto feeding, internet untuk segalanya (IoT) dan mesra alam sekitar.

 

 

“Berbanding penternakan biasa, SAFS juga lebih super intensif dengan hasilnya lebih tinggi dengan 80 tan setiap ekar atau 10 kali lebih hasil berbanding enam hingga lapan tan untuk kolam biasa,” ujarnya.

 

 

Difahamkan konsep SAFS juga mencatatkan kadar mortaliti 5 hingga 10 peratus sahaja berbanding 40 hingga 50 peratus di kolam biasa.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT